INDUSTRI filem dan drama memiliki barisan primadona handalan yang bukan sahaja dianugerahkan rupa paras menawan, malah bakat yang tidak boleh dipertikaikan.
Dalam kalangan bintang yang berkerdipan di langit seni, Datin Sofia Jane layak diangkat sebagai antara aktres yang kekal menyinar. Pengalaman 31 tahun dalam dunia lakonan meletakkan dirinya pada kedudukan tersendiri.
Di sebalik nama yang begitu gah, tersimpan sifat peramah dan rendah diri yang utuh membentuk peribadi pelakon kelahiran London, United Kingdom ini.
Sesi temu bual yang dijalankan sarat dengan aktiviti bertukar pandangan. Sofia sempat berbahagi pendapat, berkongsi pengalaman sepanjang lebih tiga dekad menjadi insan seni.
Katanya, dia amat bertuah membesar sebagai pelakon yang dididik dan dibiasakan dengan etika kerja berdisiplin dan penuh tanggungjawab. Itu yang meletakkan namanya untuk terus ampuh bertahan sehingga hari ini.
“Saya bernasib baik kerana penglibatan dalam dunia lakonan bermula dari bawah. Saya bermula sebagai pelakon ekstra, seterusnya diberikan peluang membawa watak berdialog. Hanya selepas itu, saya mendapat kepercayaan membawa peranan utama.
“Saya bermula pada era di mana pelakon terdidik melakukan kerja lakonan dengan betul dan penuh tanggungjawab. Kami akan baca, hafal, fahamkan dan melakukan persediaan sebaik sahaja diberikan skrip.
“Perkara itu sudah dipupuk sejak dahulu dan sebati dalam diri. Ia menjadi amalan yang tidak pernah saya tinggalkan setiap kali melangkah ke lokasi penggambaran hingga hari ini,” kongsinya.
Empunya nama sebenar Sofia Jane Hisham ini juga turut bertuah kerana diberi kesempatan untuk bekerjasama dengan pelakon yang bukan sahaja berbakat besar, malah dikategorikan sebagai pemikir hebat dan intelektual.
“Saya banyak belajar dengan pemikir hebat seperti Noordin Hassan, Krishen Jit, Datuk Faridah Merican, Noran Nordin, Allahyarham Jit Murad, U-Wei Haji Saari, Kamal Ishak dan ramai lagi.
“Mereka adalah barisan intelektual dan pemikir industri drama, filem serta teater yang dihormati. Saya bertuah kerana pada usia belasan tahun berrpeluang bekerja dan belajar daripada mereka,” katanya.
Nenek Bongkok Tiga

Bakal muncul dalam drama bersiri, Nenek Bongkok Tiga yang akan ditayangkan di platform VIU, awal tahun hadapan, Sofia mengubat rindu peminat yang sentiasa menantikan karya terbarunya.
Drama tersebut turut menampilkan gabungan pelakon baharu dan senior antaranya Meerqeen, Sara Ali, Sherlis Merlis dan ramai lagi..
Sofia Jane memaklumkan, ada beberapa faktor utama yang menarik minatnya untuk berlakon dalam drama seram itu.
“Menerusi drama itu, saya kembali berpeluang bekerja dengan penerbit, Zurina Mohd. Ramli. Selain itu, buat kali pertama saya dapat berlakon di bawah arahan Datuk Yusry Abdul Halim.
“Nenek Bongkok Tiga mempunyai jalan cerita yang menarik dan berlainan. Itu juga antara sebab saya menerima tawaran ini.
“Saya tertarik dengan elemen tempatan merangkumi budaya, sastera dan sejarah yang diketengahkan dalam drama ini. Inilah yang dikatakan naskhah kita, wajah kita” ujarnya.
Bercerita tentang wataknya dalam drama bersiri tersebut, Sofia mengakui, dia tertarik dengan peranannya sebagai Samira yang disifatkan unik dan berbeza.
Media sosial

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 1993 yang juga penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2007 ini tidak menolak kepentingan media sosial dalam kehidupan harian.
Kata Sofia, media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter adalah penting dan perlu dimanfaat sebaiknya dalam kehidupan seharian.
“Media sosial ada baik dan buruknya. Saya elak sebarang kandungan negatif yang tidak membawa manfaat.
“Saya gunakan media sosial untuk berkongsi perspektif dan pandangan tentang pelbagai topik termasuk filem, drama serta teater,” katanya.
Tambah Sofia lagi, media sosial juga penting bagi mengikuti perkembangan semasa.
“Saya sangat aktif di Twitter. Itu antara saluran untuk saya mengikuti isu semasa. Apa sahaja, politik, ekonomi, hiburan dan sebagainya,” ujarnya.
Naskhah pilihan

Ditanya tentang naskhah filem atau drama, kata Sofia, naskhah berimpak tinggi dan bermanfaat untuk masyarakat menjadi keutamaannya.
“Bergantung kepada jalan cerita kerana bagi saya, ia perkara penting. Saya mahu menjayakan naskhah yang memberi impak dan membawa manfaat kepada masyarakat.
“Sesuatu yang membuatkan orang memperkatakan dan membincangkan tentang isu yang diutarakan. Ia tidak perlu mengangkat tema yang serius, boleh jadi cerita komedi atau seram. Contonyah, naskhah yang mengupas tentang alam sekitar dan keperluan menjaganya.
“Seiring pertambahan usia, kita memikul tanggungjawab lebih besar dalam kerjaya. Saya ingin kemunculan membawa manfaat dan kebaikan kepada khalayak menerusi naskhah yang saya lakonkan,” jelasnya.
Kata Sofia lagi, filem dan drama sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan negara kerana pengaruh dan impaknya terhadap masyarakat sangat besar.
“Kita kena fikir cara untuk membina negara menerusi filem dan drama. Bukan hanya melalui politik atau ekonomi semata-mata. Itu peranan sebenar industri seni.
“Saya juga mahu melakonkan naskhah yang membangkitkan perasaan bangga sebagai anak bangsa negara ini. Malangnya, filem sebegini masih kurang dihasilkan.
“Disebabkan itu, saya menghormati penggiat seni yang bergolok-gadai dan menolak ke tepi keuntungan wang ringgit demi menghasilkan karya yang penting dan memberi impak tinggi kepada masyarakat,” tambahnya.










