fbpx

FAS susun semula Selangor FC 

MOHD. KHAIRUDDIN OTHMAN

SHAH ALAM: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sedang menyusun semula Selangor FC, berikutan kegagalan pasukan tersebut gagal menjuarai segala kejohanan yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak lima tahun kebelakangan ini.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau dimaklumkan hal tersebut ketika bertemu dengan salah seorang pengurusan tertinggi persatuan itu baru-baru ini. 

“Pasukan Selangor FC akan menyusun semula bahagian teknikal termasuk memasukkan beberapa pegawai dari luar negara bagi memperkasakan aspek teknikal serta sains sukan pasukan bolasepak tersebut. 

“Dari segi pembangunan bolasepak, kita mempunyai sistem yang baik di peringkat akar umbi,” katanya menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor, hari ini. 

Dalam pada itu, ADUN Paya Jaras itu turut memaklumkan terdapat empat buah sekolah di negeri itu telah dipilih FAM bagi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP). 

Jelasnya lagi, selain NFDP, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor turut menganjurkan beberapa program bagi mengukuhkan bakat akar umbi di Selangor. 

“Untuk makluman, FAS kini telah diswastakan, jadi saya atau mana-mana Exco tidak menganggotai persatuan tersebut. 

“Berilah peluang kepada FAS untuk memartabatkan semula Selangor FC, dengan harapan mereka boleh memenangi semula Piala Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN