Bapa tiga anak mengaku hantar komunikasi lucah - Utusan Malaysia

Bapa tiga anak mengaku hantar komunikasi lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang juruteknik syarikat penerbangan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang individu, empat tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali memutuskan demikian selepas Mohd. Redzuan Mohd. Radzir, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah kepada seorang individu dengan niat menyakiti hati orang lain.

Komunikasi itu dibaca di sekitar Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, 7 Februari 2018.

Justeru, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu berasa sakit hati kerana komunikasi itu menunjukkan gambar isterinya dalam keadaan mengaibkan.  

Lelaki itu kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang membawa kepada serbuan dan rampasan barang kes untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SKMM, Nur Nazhzilah Mohamad Hashim memohon hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada OKS dan sebahagian barang kes dilucuthak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Mohd. Redzuan yang diwakili peguam Swinder Singh Ram Singh bagaimanapun memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan keluarga termasuk kedua ibu bapanya.

“Selain itu, ia merupakan kesalahan kali pertama anak guam saya yang turut sudah menginsafi perbuatannya. Dia yang bekerja selama setahun di Singapura itu turut tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan,” katanya.

Rasyihah kemudian memerintahkan denda dan kesemua barang kes turut dilucuthak serta dilupuskan oleh SKMM. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya