Qatar tuan rumah pertama tewas aksi pembukaan Piala Dunia

Qatar tuan rumah pertama tewas aksi pembukaan Piala Dunia

PEMAIN Ecuador, Sebastian Mendez (jersi N0. 20), Pervis Estupinan (7) dan Felix Torres (2) meraikan kejayaan pasukan mereka memenangi perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 dengan menumpaskan Qatar 2-0 di Stadium Al-Bayt, Al Khor, utara Doha hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Piala Dunia 2022 bermula dengan rekod tercipta apabila Qatar muncul tuan rumah pertama tumpas dalam aksi pembukaan selepas tunduk 0-2 kepada Ecuador di Stadium Al Bayt, sebentar tadi.

Dua gol Enner Valencia sudah cukup untuk Ecuador membuka kempen Kumpulan A dengan sempurna, sekali gus memberi permulaan buruk buat Qatar.

Dalam sejarah 92 tahun kejohanan, 16 pasukan tuan rumah memenangi perlawanan pertama mereka, manakala enam daripada mereka mencatat keputusan seri.

Walaupun beraksi di depan sorakan ribuan penyokong tuan rumah, Ecuador mempamer ketenangan, malah mengawal permainan sepenuhnya.

GOL pembukaan Ecuador yang disempurnakan Enner Valencia (tengah) dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid. – AFP

Gandingan bintang Brighton,Moises Caicedo dan Pervis Estupinan menjadi nadi utama skuad bimbingan Gustavo Alfaro.

Bagi Qatar yang dibimbing Felix Sanchez, mereka memulakan penampilan sulung di pentas berprestij itu dengan buruk, terutama bolos seawal minit ketiga hasil tandukan Valencia.

Tuan rumah bagaimanapun diselamatkan oleh video bantuan pengadil (VAR) apabila jaringan yang berpunca daripada sepakan sudut Estupinan dibatalkan kerana ofsaid, sekali gus mencetus kontroversi pertama di Qatar 2022.

PEMAIN Qatar meninggalkan padang dengan kecewa selepas tumpas dalam penampilan pertama pada Piala Dunia.

Begitupun Ecuador tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pada minit ke-16, penjaga gol Qatar yang gugup,  Saad Al-Sheeb menjatuhkan Valencia untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan.

Bekas penyerang West Ham dan Everton itu mengambil tendangan dengan penuh yakin, sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-31 selepas menanduk hantaran lintang Angelo Preciado.

Peluang terbaik tuan rumah pada babak pertama hadir menerusi bintang penyerangnya, Almoez Ali, namun dia gagal menyudahkan hantaran lintang Hassan Al Haydos.

Memasuki babak kedua, tuan rumah tampil dengan permainan lebih tersusun, namun juara Asia itu yang menerima sokongan padu 60,000 penonton gagal menembusi gawang lawan.

Pertembungan Qatar-Ecuador secara rasmi membuka edisi ke-22 Piala Dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.