Sasar buka 500 outlet durian crepe

Sasar buka 500 outlet durian crepe

durian crepe
Azirawaty Mohd. Noor menunjukkan produk durian crepe jenama Royale Mabeles.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Alah bisa, tegal biasa’. Mungkin peribahasa itu paling sesuai diguna untuk menggambarkan kecekalan ibu tunggal ini dalam menempuh liku-liku perniagaannya sejak 20 tahun yang lalu.

Ternyata, pengalaman berniaga selama hampir dua dekad banyak mematangkan Azirawaty Mohd. Noor, 48, terutamanya ketika berdepan pelbagai cabaran dan rintangan dalam dunia berkenaan.

Pernah mengusahakan perniagaan spa, ibu kepada dua cahaya mata itu bagaimanapun memilih untuk ‘terjun’ ke dalam dunia perniagaan makanan iaitu durian crepe di bawah jenama Royale Marbeles sejak lapan tahun yang lalu.

Selain durian crepe, Azirawaty yang lebih mesra disapa sebagai Kak Zira berkata, dia turut menghasilkan kuih tart nanas dalam bentuk premium sebagai produk sampingan dan membantu memasarkan produk-produk setempat yang dihasilkan oleh rakan usahawan lain.

“Sebenarnya, apa yang membezakan produk durian crepe kami dengan produk lain di pasaran ialah, kami hanya menggunakan durian asli jenis D24 sahaja yang digabungkan dengan ramuan ‘royal custard’ tersendiri. Durian crepe dan tart nenas kami juga telah mendapat pengiktirafan halal daripada JAKIM.

“Alhamdulillah, setakat ini, produk tersebut menerima sambutan yang sangat baik dan kini telah dipasarkan di hampir 30 buah lokasi termasuk di beberapa buah stesen minyak di utara Semenanjung,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Nenek kepada seorang cucu itu memberitahu, ketika ini, dia mampu menghasilkan sehingga 300 pek durian crepe sehari dengan bantuan antara enam hingga lapan orang pekerja selain mempunyai tiga atau empat pembekal durian tetap sepanjang tahun.

“Sasaran kami ialah untuk melihat produk durian crepe berjenama Royale Marbeles ini dikenali di seluruh Semenanjung sebelum dipasarkan hingga ke Sabah Sarawak.

“Pada masa yang sama, kami juga menyasarkan untuk membuka sehingga 500 ‘outlet’ yang sah dalam masa tiga tahun ini,” katanya yang memberitahu, sambutan yang diterima terhadap produk tart nanas juga agak memberangsangkan ketika ini.

Dalam pada itu, Azirawaty yang juga merupakan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak hampir sembilan tahun lalu berterima kasih kepada agensi itu kerana banyak membantunya dalam mengembangkan perniagaan hingga ke hari ini.

“Kalau hendak diikutkan, AIM adalah antara agensi (pinjaman kewangan) terawal yang banyak membantu Kak Zira dalam memajukan produk dan sebagainya.

“Insyaa-Allah, Kak Zira akan terus setia bersama Amanah Ikhtiar (AIM) kerana sehingga kini, jumlah pinjaman yang diterima untuk memajukan perniagaan ini telah mencecah RM100,000,” ujarnya.

Dijual dalam bentuk pek atau kotak, Royale Marbeles juga boleh didapati dalam bentuk balang iaitu durian crepe berperisa keju dan durian crepe campuran dalam empat perisa berbeza iaitu ‘blueberry’, nutella, oreo dan strawberi pada harga yang berpatutan.Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk keluaran Rasa Ma Cinta Tuah ini, bolehlah menghubungi Azirawaty di talian 013-5018084. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN