PETALING JAYA: Malaysia semakin menonjol sebagai destinasi pilihan bagi pembangunan pusat data (DC) di rantau Asia Pasifik, disokong oleh kos kompetitif, kestabilan infrastruktur serta peralihan strategi pelabur global susulan ketegangan geopolitik, kata RHB Investment Bank Bhd.
Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, ketegangan berterusan di Asia Barat berpotensi mendorong syarikat berskala besar mengalihkan sebahagian operasi dan pelaburan mereka ke Asia, termasuk Malaysia.
Katanya, ini menjadi lebih menarik dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), tertakluk kepada risiko lain seperti gangguan rantaian bekalan komponen kecerdasan buatan (AI).
“Syarikat berskala besar kini menilai semula pendedahan mereka di Asia Barat berikutan peningkatan risiko geopolitik, dengan keselamatan pekerja, kesinambungan perniagaan dan daya tahan rantaian bekalan menjadi faktor utama dalam pemilihan lokasi.
“Malah, Johor kini menduduki tempat teratas dalam Indeks Kematangan DC APAC oleh Cushman & Wakefield, mengatasi Tokyo dan Beijing,” katanya dalam nota penyelidikan.
Adam berkata, kos pembangunan DC di Malaysia adalah relatif berpatutan berbanding pasaran lain.
“Berdasarkan Panduan Kos Pembinaan DC APAC 2026 oleh Cushman & Wakefield, kos pembinaan DC kategori pertengahan di Malaysia sebanyak AS$9.6 juta (RM30.75 juta) untuk setiap megawatt (MW) adalah lebih rendah berbanding Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia dan Hong Kong.
“Selain itu, ia juga hanya sedikit lebih mahal berbanding New Zealand dan Thailand. Walaupun terdapat risiko kenaikan kos bahan susulan harga bahan yang lebih tinggi, kami berpandangan risiko ini turut terpakai kepada negara lain memandangkan harga bahan berkait rapat dengan harga tenaga iaitu harga minyak,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, saluran projek pusat data negara juga kukuh dengan kapasiti sebanyak 3,252 MW dalam perancangan sehingga 2030.
“Ini berpotensi menjana nilai pembinaan sekitar AS$22.4 bilion atau RM90 bilion, sekali gus memberi limpahan positif kepada sektor pembinaan tempatan.
“RHB investment Bank mengekalkan penarafan ‘overweight’ bagi sektor pembinaan dengan Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Bhd. dan Binastra Corporation Bhd. sebagai pilihan utama untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan ini,” jelasnya.
Walaupun terdapat risiko kenaikan kos tenaga susulan konflik geopolitik global, beliau berkata, impaknya terhadap operasi pusat data di Malaysia masih boleh diurus.
“Bagaimanapun, risiko berkaitan kekurangan bekalan helium iaitu komponen penting untuk semikonduktor canggih yang menggerakkan DC perlu diberi perhatian, memandangkan kira-kira satu pertiga bekalan helium global datang dari Qatar,” katanya. – UTUSAN










