BALING: Seorang pelajar maut apabila motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Tanjung Kepala Bukit, kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Mangsa Muhammad Ajwad Zuraimi, 15, beralamat di Kampung Bukit, Kuala Kuang, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang tidak memakai topi keledar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X datang dari arah Kampung Sadek menghala ke Kampung Pisang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso datang dari arah bertentangan telah memasuki laluan motosikal terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Shamsudin, akibat pelanggaran itu, mangsa telah merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori tersebut ketika melalui jalan yang berselekoh.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










