SP Sports Park sedia sambut warga media

SP Sports Park sedia sambut warga media

Pemilik SP Sports Park, Daniel Wong (kanan) bersama Exco SAM, Firdaus Hashim pada pelancaran trofi Fiesta Piala Dunia Gol & Smash 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SP Sports Park sudah bersedia untuk menyambut kehadiran puluhan pengamal media sukan serta warga badan sukan negara yang akan memeriahkan Fiesta Piala Dunia Gol & Smash 2026 di Cheras pada 20 Jun ini.

Pemiliknya, Daniel Wong berkata, pihaknya berbesar hati apabila  SP Sports Park dipilih sebagai venue penganjuran kejohanan yang menghimpunkan wakil media tempatan dan rakan strategik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sempena kemeriahan Piala Dunia 2026.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan bertaraf moden disediakan bagi memastikan semua peserta dapat menikmati pengalaman terbaik sepanjang kejohanan yang dianjurkan bersama SAM itu.

“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran wakil media sukan dari seluruh negara serta rakan-rakan strategik SAM. SP Sports Park sentiasa komited menyediakan kemudahan terbaik dan kami berharap kejohanan ini dapat berlangsung dalam suasana yang meriah serta mengeratkan hubungan sesama peserta,” katanya pada majlis undian di sini, hari ini.

Fiesta Piala Dunia Gol & Smash 2026 bakal menampilkan dua acara utama iaitu futsal dan pickleball, dengan penyertaan lapan pasukan futsal mewakili pelbagai organisasi media tempatan selain badan sukan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Persaingan futsal dijangka menjadi tumpuan apabila menghimpunkan barisan pengamal media yang saban hari membuat liputan pelbagai acara sukan, namun kali ini berpeluang menunjukkan kemampuan masing-masing di gelanggang.

Bagi acara pickleball pula, pertandingan akan dipertandingkan dalam dua kategori iaitu beregu lelaki dan beregu campuran yang mendapat sambutan hangat susulan peningkatan populariti sukan berkenaan di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penganjuran Fiesta Piala Dunia Gol & Smash 2026 dilihat bertepatan dengan kemeriahan Piala Dunia 2026 yang bakal membuka tirainya di Amerika Utara bermula 11 Jun ini, selain menjadi platform terbaik untuk mengeratkan silaturrahim antara pengamal media sukan tempatan, agensi sukan negara dan rakan strategik industri dalam suasana yang lebih santai dan harmoni.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN