PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam kancah bola sepak tempatan telah dibincangkan secara serius, malah dua syarikat penyedia teknologi itu telah membuat pembentangan.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman berkata badan induk itu sudah mendapat input berhubung penggunaan teknologi terbabit.
Bagaimanapun, Noor Azman mengakui pelbagai perkara perlu dipertimbangkan dan diambil kira terlebih dahulu sebelum penggunaan teknologi diimplementasikan dalam saingan domestik.
“Memang di peringkat Jawatankuasa Pengadil ada taklimat daripada penyedia iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro yang membuat pembentangan kepada kita.
“Cuma perkara itu di peringkat untuk kita memuktamadkan membabitkan kosnya dan sebagainya. Kita juga sedang melihat sama ada untuk membelinya atau menyewa teknologi terbabit.
“Kita memang mahu (gunakan VAR) tetapi kita perlu ambil kira penggunaannya dan kesesuaiannya. Kita ambil input dahulu dan kita lihat keperluannya di sini.
“Kita serahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pengadil untuk membuat penilaian,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman kerjasama FAM bersama HP Malaysia, hari ini.
Terdahulu, FAM menjalinkan kerjasama dengan HP bagi membantu memperkukuhkan pasukan e-Rimau negara.
Penggunaan VAR adalah penting bagi membuka peluang kepada pengadil Malaysia untuk memiliki lesen bagi mengendali perlawanan di peringkat antarabangsa antara Piala Asia dan Piala Dunia.
Piala Dunia yang akan berlangsung pada bulan depan menyaksikan tiada pengadil negara tidak terpilih untuk bertugas ekoran tiada lesen VAR.
Mengulas mengenai isu pengadil tempatan terlepas peluang ke Piala Dunia kerana ketiadaan lesen VAR, Noor Azman memaklumkan perkara terbabit akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pengadil.
“Kita akan rujuk kepada Jawatankuasa Pengadil dan dapatkan laporan (mengenai isu itu),” jelasnya.
Semalam, Tenaga Pengajar Teknikal FIFA yang juga bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh mendedahkan Malaysia terlepas peluang mencalonkan salah seorang pengadil lelaki terbaiknya untuk bertugas di Piala Dunia 2022 kerana tidak memiliki lesen VAR.- UTUSAN