ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan rentak kemenangan buat kali ketiga berturut-turut apabila menundukkan Selangor FC 3-1 di laman sendiri, sebentar tadi.
Perlawanan bermula rancak di Stadium Darul Aman dengan skuad Gergasi Merah memiliki peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan seawal minit kedua.
Brendan Gan bagaimanapun gagal mengawal bola dengan kemas meskipun cuma berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol tuan rumah, Shahril Saari, menyebabkan bola meleret keluar dari kawasan permainan.

Minit ke-18, giliran kapten KDA FC, Mohd Syazwan Zainon pula gagal menyempurnakan peluang gol buat Sang Kenari apabila rembatannya dari dalam kotak penalti, terbias kepada salah seorang pemain lawan sekali gus menyebabkan bola melepasi palang.
Begitupun, sorakan penyokong gamat empat minit kemudian apabila tonggak KDA FC, Ronald Ngah Wanja membuka tirai jaringan.
Kegembiraan penyokong tuan rumah berterusan apabila pertahanan import dari Andorra, Marc Vales meledak gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-30.
Pujian penyokong terhadapnya bagaimanapun bertukar menjadi kemarahan seminit kemudian apabila dia gagal merantai pemain lawan, Hein Htet Aung, hingga membolehkan bintang muda Myanmar itu membuat hantaran lintang kepada Herlison Caion sebelum disudahkan dengan rembatan leret untuk kedudukan berubah menjadi 2-1.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan terus berbalas serangan namun rembatan pemain muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal dari luar kotak penalti pada minit ke-59, bola singgah tepat ke tiang sebelah kiri gawang tuan rumah.
Pemain gantian, Mohammad Fayadh Zulkifli memuktamadkan keputusan 3-1 memihak tuan rumah apabila dia melakukan rembatan leret cantik menewaskan Sam Somerville, sebaik menerima hantaran cantik dari Mahmoud Al-Mardi pada masa tambahan permainan. -UTUSAN