Rumah Putih bakal anjur pertarungan UFC sempena ulang tahun ke-80 Trump - Utusan Malaysia

Rumah Putih bakal anjur pertarungan UFC sempena ulang tahun ke-80 Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NORFOLK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Rumah Putih akan menjadi lokasi bagi pertarungan Ultimate Fighting Championship (UFC) pada sambutan hari lahirnya yang ke-80 tahun depan.

Trump berkata acara itu akan diadakan pada 14 Jun 2026, iaitu tarikh lahirnya, meskipun sebelum ini pertandingan berkenaan dilaporkan dijadualkan pada 4 Julai sempena ulang tahun ke-250 penubuhan AS.

“Pada 14 Jun tahun depan, kita akan adakan pertarungan UFC besar di Rumah Putih, betul-betul di kawasan Rumah Putih,” katanya ketika berucap di hadapan anggota tentera laut di pangkalan tentera Norfolk, Virginia.

Tahun ini, sempena ulang tahunnya ke-79, beliau menganjurkan perarakan ketenteraan bagi memperingati penubuhan Tentera Darat AS.

Presiden UFC, Dana White pada Ogos lalu mengumumkan acara seni bela diri campuran (MMA) itu dijadual berlangsung pada 4 Julai 2026, namun Trump kini mengesahkan tarikh baharu.

Trump dilihat kerap menghadiri pertarungan UFC yang sering menyaksikan atlet saling menumbuk, menendang dan bergelut hingga berlumuran darah dalam perlawanan tanpa sekatan sebelum salah seorang tewas atau menyerah kalah.

Penganjuran sukan tempur lasak itu di pusat kuasa politik AS dijangka mencatat sejarah tersendiri.

Dalam sidang media yang disiarkan di saluran YouTube rasmi UFC, White berkata, pihaknya akan mula membentuk senarai pertarungan pada awal tahun depan.

“Saya boleh katakan sekarang ia akan menjadi pertarungan terhebat dalam sejarah syarikat ini,” katanya.

UFC merupakan organisasi terbesar dan paling berpengaruh dalam dunia seni bela diri campuran, yang menggabungkan pelbagai disiplin termasuk jiu-jitsu, tinju, gusti dan kickboxing.

Pertarungan biasanya berlangsung dalam gelanggang berbentuk segi lapan yang dikenali sebagai The Octagon dan hanya beberapa teknik tertentu seperti mencungkil mata yang dilarang.

Trump sering menghadiri acara UFC dan disambut meriah oleh peminat sukan itu, terutamanya golongan lelaki muda, demografi penting dalam pilihan raya AS.

Hubungan rapat Trump dengan UFC menjadikan beliau sering menjadi tumpuan pada acara-acara utama pertubuhan itu, di mana kehadirannya disambut bak selebriti.

Namun, sifat ganas sukan tersebut kekal kontroversi susulan kadar kecederaan tinggi dan risiko kerosakan otak jangka panjang akibat hentakan berulang di kepala.

Bagaimanapun, popularitinya semakin meningkat dan semakin diterima arus perdana.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN