AS hantar penerbangan kedua usir pelarian ke Eswatini, cetus kebimbangan hak asasi

AS hantar penerbangan kedua usir pelarian ke Eswatini, cetus kebimbangan hak asasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menghantar penerbangan untuk mengusir kumpulan pelarian ke Eswatini, sebuah negara kecil di selatan Afrika, walaupun berdepan kritikan meluas berhubung isu hak asasi manusia.

Kerajaan Eswatini pada Isnin mengesahkan pihaknya menerima 10 pelarian yang diusir dari AS, kesemuanya bukan warganegara negara itu.

Ini merupakan kumpulan kedua selepas lima individu dihantar ke Eswatini pada Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rumah Putih turut mengesahkan penghantaran itu dan menyatakan mereka yang dihantar itu disabitkan dengan kesalahan jenayah serius namun, kedua-dua pihak tidak mendedahkan kewarganegaraan pelarian berkenaan.

Menurut peguam imigresen berpangkalan di AS, Tin Thanh Nguyen, kumpulan kali ini termasuk tiga warga Vietnam, seorang dari Filipina dan seorang lagi dari Kemboja.

Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini mengutuk layanan terhadap kumpulan pertama pelarian yang dihantar ke Eswatini, termasuk individu dari Vietnam, Jamaica, Laos, Cuba dan Yemen kerana didakwa dikurung secara bersendirian dan tidak dibenarkan bertemu peguam.

Nguyen berkata, beliau mewakili dua individu daripada kumpulan terbaharu itu dan dua lagi daripada kumpulan terdahulu, namun masih gagal menghubungi mereka.

“Saya tidak boleh menelefon, menghantar emel atau berhubung melalui peguam tempatan kerana kerajaan Eswatini menyekat semua akses peguam,” katanya kepada agensi berita Reuters.

Pentadbiran Trump kini semakin bergantung kepada penghantaran pelarian ke negara ketiga apabila undang-undang tidak membenarkan mereka dihantar pulang ke negara asal.

Aktivis hak asasi bimbang langkah itu akan menyebabkan pelarian terdampar di negara asing tanpa perlindungan undang-undang dan tanpa memahami bahasa tempatan.

Selain Eswatini, AS juga pernah menghantar pelarian ke Sudan Selatan, Ghana dan Rwanda.

Jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson berkata, kumpulan terbaharu itu terdiri daripada pesalah jenayah berat termasuk kes bunuh dan rogol.

“Mereka tidak layak berada di AS,” katanya.

Sementara itu, aktivis di Eswatini mengutuk perjanjian rahsia kerajaan mereka dengan AS dan memfailkan cabaran undang-undang bagi membatalkannya.

Jabatan Penjara Eswatini pula menegaskan komitmennya terhadap layanan berperikemanusiaan dan menyatakan semua individu terbabit akan ditempatkan di fasiliti penjara sementara menunggu penghantaran pulang ke negara asal masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×