KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri tidak menolak kemungkinan mengetengahkan dua tokoh politik iaitu Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Azmi Khalid sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis.
Jika menjadi kenyataan, kemunculan semula dua nama besar yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu di Parlimen Kangar dan Padang Besar sekali gus bakal memberi cabaran sengit kepada Barisan Nasional (BN).
Radzi Sheikh Ahmad, 80, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menguasai Parlimen Kangar pada PRU 1982, 1986, 2004 dan 2008.
Azmi, 82, yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pula menguasai Parlimen Padang Besar selama empat penggal berturut-turut dari 1995 sehingga 2008.
Selain dua tokoh itu, Bersatu negeri juga tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon yang merupakan bekas wakil rakyat seperti Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail yang juga bekas Ahli Parlimen Arau.
“Insya-Allah, kita akan ketengahkan tokoh-tokoh ini. Kita juga pernah menyuarakan cadangan tersebut kepada mereka (bertanding). Tan Sri Radzi, Azmi sesuai di Parlimen dan Insya-Allah boleh membantu kemenangan kita,” kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, Bersatu dan Pas menerusi Perikatan Nasional (PN) yakin merampas Perlis daripada BN dalam PRU15.
Katanya, selain Guar Sanji dan Sanglang yang berkemungkinan kekal dikuasai Pas, Bersatu hanya memerlukan kemenangan di sekurang-kurangnya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU15 bagi membentuk kerajaan di negeri ini.
“Antara kawasan yang kita sasar menang di Kuala Perlis, Kayang, Bintong, Sena, Pauh dan Titi Tinggi,” katanya.
Tambah Abu Bakar, Bersatu negeri yang menyasarkan bertanding tujuh atau lapan kerusi DUN bakal mengetengahkan calon anak tempatan daripada pelbagai lapisan umur yang sudah pastinya dekat dengan jiwa rakyat.
Ditanya di mana beliau akan bertanding dalam PRU15, Abu Bakar tidak menolak kemungkinan bertanding di Kuala Perlis iaitu kerusi yang kini disandang oleh PKR. – UTUSAN










