ISU pengambilan pelajar antarabangsa di universiti awam sering menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila timbul persepsi pelajar asing mengambil tempat pelajar tempatan.
Persepsi ini muncul apabila persaingan kemasukan ke program popular seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan perakaunan semakin sengit.
Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024, terdapat 1.25 juta pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia, dengan 155,986 orang merupakan pelajar antarabangsa.
Bagi universiti awam, pelajar antarabangsa hanya berjumlah 53,322 orang atau sekitar 8.7 peratus daripada keseluruhan enrolmen, manakala lebih 90 peratus lagi adalah pelajar tempatan. Ini membuktikan keutamaan pengambilan di universiti awam masih diberikan kepada rakyat Malaysia.
Sistem pengambilan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditadbir secara terancang oleh KPT, yang menetapkan dasar, kapasiti dan kuota berdasarkan keperluan negara, kemampuan universiti serta perancangan pembangunan modal insan.
Dalam pengambilan ini, pelajar tempatan kekal sebagai keutamaan utama, manakala pelajar antarabangsa ditempatkan dalam kategori pengambilan yang berasingan.
Ini bermakna, tempat yang diperuntukkan kepada pelajar tempatan tidak diambil oleh pelajar asing. Sebaliknya, universiti menetapkan kapasiti khusus untuk pelajar antarabangsa sebagai sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan.
Kapasiti ini diwujudkan untuk tujuan memperkukuh reputasi global universiti, meningkatkan jaringan akademik antarabangsa serta menyokong ekosistem kewangan dan penyelidikan universiti.
Dari sudut realiti semasa, peratusan pelajar antarabangsa di universiti awam Malaysia masih rendah berbanding pelajar tempatan. Anggaran umum menunjukkan ia berada pada tahap sekitar 8.7 peratus daripada keseluruhan enrolmen.
Ini sekali gus menunjukkan dominasi pelajar tempatan dalam sistem pendidikan tinggi negara masih sangat kukuh dan tidak tergugat oleh kehadiran pelajar asing.
Namun begitu, persepsi masyarakat tetap wujud, terutamanya apabila melibatkan program pengajian yang sangat kompetitif. Dalam bidang seperti perubatan, farmasi, pergigian, kejuruteraan dan undang-undang, bilangan tempat adalah terhad berbanding jumlah permohonan yang sangat tinggi setiap tahun.
Ribuan pelajar cemerlang yang memenuhi syarat minimum kadangkala tidak mendapat tawaran, lalu menimbulkan tanggapan pelajar asing menjadi faktor pengurangan peluang.
Hakikatnya, isu ini lebih berkait dengan kekangan kapasiti program dan struktur permintaan yang tinggi, bukan kerana kemasukan pelajar antarabangsa.
Dalam hal ini, penting untuk difahami pelajar antarabangsa tidak bersaing secara langsung dengan pelajar tempatan dalam semua program. Sebahagian besar mereka ditempatkan dalam program tertentu, termasuk program pascasiswazah, program mobiliti antarabangsa atau program yang direka khusus untuk menarik pelajar luar negara.
Ini menunjukkan sistem pengambilan telah direka dengan mekanisme yang jelas antara pelajar tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, kehadiran pelajar antarabangsa juga memberikan manfaat yang signifikan kepada universiti dan pelajar tempatan sendiri.
Dari sudut ekonomi, yuran yang dibayar oleh pelajar antarabangsa membantu menjana pendapatan tambahan kepada universiti. Pendapatan ini digunakan untuk meningkatkan kemudahan kampus, memperkukuh penyelidikan serta menyokong pembangunan akademik yang akhirnya memberi manfaat kepada semua pelajar, termasuk pelajar tempatan.
Dari sudut akademik pula, pengantarabangsaan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih global dan dinamik. Pelajar tempatan berpeluang berinteraksi dengan rakan dari pelbagai negara, budaya dan latar belakang. Interaksi ini bukan sahaja memperluaskan perspektif tetapi juga meningkatkan kemahiran komunikasi yang sangat penting dalam dunia pekerjaan global.
Dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital, graduan tidak lagi bersaing dalam pasaran kerja tempatan semata-mata tetapi juga di peringkat global.
Oleh itu, pendedahan kepada persekitaran antarabangsa semasa di universiti merupakan satu kelebihan strategik yang tidak boleh diabaikan. Ia membantu melahirkan graduan yang lebih fleksibel, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia kerja yang kompleks.
Selain itu, pengantarabangsaan turut meningkatkan reputasi universiti di peringkat global. Apabila lebih ramai pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan, ia memberi isyarat sistem pendidikan tinggi negara adalah berkualiti, kompetitif dan diyakini.
Ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan serantau di bawah agenda pembangunan negara dan kerangka Malaysia Madani, yang menekankan keseimbangan antara keterbukaan global dan kesejahteraan rakyat.
Walaupun demikian, terdapat beberapa perkara penting yang perlu sentiasa dipantau bagi memastikan keseimbangan antara pengantarabangsaan dan kepentingan tempatan.
Pertama, keutamaan kepada pelajar tempatan mesti kekal sebagai asas dalam semua program kritikal negara. Bidang seperti perubatan, pendidikan, kejuruteraan strategik dan bidang profesional lain perlu memberi ruang utama kepada anak tempatan berdasarkan merit dan keperluan nasional.
Kedua, ketelusan dalam sistem pengambilan perlu diperkukuh. Masyarakat perlu diberikan kefahaman yang jelas tentang bagaimana kuota dan kapasiti program ditentukan. Tanpa komunikasi yang jelas, persepsi salah mudah timbul dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
Ketiga, perancangan kapasiti universiti perlu terus diperkasa. Ini termasuk menambah baik infrastruktur, memperluas program akademik dan meningkatkan bilangan tempat dalam bidang kritikal mengikut keperluan semasa. Dengan cara ini, tekanan terhadap kemasukan pelajar dapat dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

KEPENTINGAN TVET
Dalam masa sama, sistem pendidikan negara juga perlu dilihat secara menyeluruh. Tekanan terhadap universiti awam menunjukkan keperluan untuk memperkukuh laluan alternatif seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti swasta, serta program pembelajaran sepanjang hayat.
Selain itu, pengukuhan TVET juga penting dalam memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada laluan akademik konvensional semata-mata. Industri moden memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, digital dan kejuruteraan, yang boleh dipenuhi melalui laluan pendidikan alternatif ini.
Dakwaan pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan di universiti awam adalah tidak benar berasaskan kepada data pengambilan dan pelaksanaan sebenar sistem pengambilan pelajar di IPTA.
Kuota pelajar tempatan ditetapkan dan dilindungi dasar pendidikan negara, manakala kemasukan pelajar antarabangsa dilaksanakan dalam kapasiti tambahan yang tidak menjejaskan hak pelajar tempatan.
Pengantarabangsaan universiti bukan ancaman kepada pelajar tempatan, sebaliknya menjadi pemangkin yang melengkapkan ekosistem pendidikan negara.
Pengurusan yang strategik bukan sahaja menjamin hak anak tempatan, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia yang lebih berdaya saing di peringkat global. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










