BEBERAPA ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut antara yang disebut bakal diberikan peluang mengisi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mereka ialah Datuk Ridzuan Mansor, Haris Saleh Hamzah, Datuk Zukarmi Abu Bakar, Datuk Rozilan Salleh dan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Nazri Ngah.
Namun, penyandang kerusi Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 64, yang sudah dua penggal sebagai Ahli Parlimen masih berpeluang jika pucuk pimpinan BN mahukan khidmatnya sepenggal lagi.
Perbualan hangat di bandar ini bercakap tentang kewibawaan tokoh-tokoh terbabit.
Namun sejak dua bulan ini, di peringkat Parlimen, ramai pihak memfokuskan dua pemimpin sebagai ‘ubi muda’ dalam politik yang sedang mencongak nasib.
Dua ‘ubi muda’ itu, Ridzuan dan Haris Saleh yang masing-masing dalam saf kepimpinan UMNO bahagian sudah pun bekerja keras sejak lama mendekati rakyat menerusi program kemasyarakatan ataupun diundang oleh penduduk di kawasan tersebut.
Ridzuan, 48, berasal dari Kampung Bukit Nikmat, Pulau Tawar merupakan usahawan berkelulusan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) manakala Haris Salleh, 43, seorang peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berasal dari Kampung Koi, Damak.
Turut disebut, Zukarmi, 60, yang merupakan cicit Mat Kilau selaku Setiausaha UMNO bahagian itu manakala Rozilan bekas Setiausaha akhbar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga Ketua Penerangan UMNO bahagian mempunyai ketokohan untuk turut dicalonkan di Parlimen dan DUN.
Difahamkan, Ketua UMNO bahagian, Datuk Nazri Ngah, 64, tidak mahu bertanding di Parlimen dan lebih menfokuskan DUN Pulau Tawar yang dimenanginya pada PRU14 lalu.
Pada PRU14 lalu, Parlimen Jerantut dimenangi Ahmad Nazlan dengan majoriti 5,908 undi, DUN Tahan oleh Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin (Pas) (majoriti 69 undi), DUN Damak disandang Zuridan Mohd. Daud (Pas) (majoriti 1,456 undi) dan DUN Pulau Tawar dimenangi Nazri dengan majoriti 587. – UTUSAN










