Masyarakat mangsa kebebasan berkarya tanpa tanggungjawab

Masyarakat mangsa kebebasan berkarya tanpa tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kesalahan petikan ayat al-Quran dalam sebuah buku yang diterbitkan oleh pempengaruh baru-baru ini wajar menjadi pengajaran kepada seluruh umat Islam.

Perkara tersebut membuka mata masyarakat tentang risiko yang boleh timbul sekiranya tidak mengambil berat serta meneliti kesahihan maklumat yang diperoleh daripada bahan bacaan dan sumber rujukan di sekeliling kita.

Bayangkan, seseorang pembaca yang tidak sedar kesilapan itu akan beranggapan ayat al-Quran yang digunakan itu betul. Lantas, mungkin ada yang akan menyebarkan petikan tersebut kepada rakan taulan dengan niat untuk berkongsi ilmu.

Justeru, kita bertanya sesama sendiri, bagaimanakah kesilapan sebegini rupa boleh berlaku sedangkan melibatkan petikan ayat al-Quran? Apakah bahan yang digunakan sebagai rujukan dan jika terdapat kesilapan pada bahan atau buku yang dirujuk itu?

Penulis berkenaan mendakwa kandungan itu disediakan oleh seorang penulis siluman. Namun, sebahagian besar warga maya berpendapat karya tersebut berkemungkinan dihasilkan dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Walau bagaimanapun, kesilapan melibatkan penggunaan ayat suci al-Quran, petikan hadis dan hukum agama merupakan perkara serius serta harus ditangani dengan tuntas dan tegas. Kita tidak mahu perkara seperti ini diambil mudah dan lebih buruk lagi sehingga dinormalisasikan atas alasan kebebasan berkarya.

Hari ini kita menuntut untuk diberikan hak kebebasan bersuara sepenuhnya, termasuk melalui karya terbitan seperti buku dan filem. Dalam berkarya, kita tidak mahu dibelenggu peraturan dan undang-undang yang dianggap boleh merencatkan kreativiti serta mencacatkan keindahan sesebuah karya seni.

Perkara inilah yang dihujahkan setiap kali pihak berkuasa khasnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan atau menghalang sesuatu filem mahupun buku daripada diedarkan di Malaysia atas sebab-sebab tertentu termasuk memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan negara selain bertentangan dengan akidah Islam.

Disebabkan tindakan tegas itu, kerajaan dikritik teruk kerana kononnya bersikap autoritarian sehingga menghalang kebebasan berkarya.

Seiring dengan perkembangan tersebut, sejak kebelakangan ini banyak halangan tersebut sudah mula dilonggarkan oleh kerajaan untuk memberikan hak kebebasan bersuara yang lebih besar kepada rakyat.

Hasilnya, kita menyaksikan beberapa buku yang dahulunya diharamkan, kini mula dikaji semula untuk ditarik balik pengharamannya.

Langkah kerajaan itu menuntut ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam menapis bahan bacaan anak-anak di bawah jagaan mereka.

Kita harus sedar kebebasan yang diberikan bukannya hadir secara percuma. Ia datang bersama tanggungjawab lebih besar di bahu rakyat untuk berfikir, menilai mahupun mengkaji dengan teliti dan bukannya terlalu mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dihidangkan di depan mata.

 

 

KEMUDAHAN AI YANG DATANG BERSAMA RISIKO

Cabaran ini semakin besar pada saat ini penggunaan AI begitu berleluasa.

Kurangnya pendedahan terhadap risiko penyalahgunaan teknologi AI boleh menyebabkan ibu bapa tanpa sedar membenarkan anak-anak menggunakannya tanpa pengawasan yang mencukupi.

Oleh itu, ramai anak-anak digalakkan dan diberi insentif untuk mendalami AI tanpa diberikan pengajaran asas tentang cara penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Kita berbangga apabila boleh mengarahkan AI menghasilkan sesuatu karya walaupun keindahan seni itu sepatutnya lahir hasil daripada sentuhan hati pelukisnya. AI juga boleh menghasilkan lagu yang lengkap dengan muzik videonya sekali.

Keghairahan terhadap penggunaan teknologi AI boleh menyebabkan seseorang terlalu asyik menikmati kemudahannya sehingga bukan sahaja menyerahkan tugasan kepada sistem tersebut, malah turut bergantung kepadanya untuk membuat pertimbangan dan keputusan. Malangnya, ada yang berasa bangga dengan keadaan ini tanpa menyedari kesan serta kelemahan yang timbul daripada sikap sedemikian.

Kebergantungan yang semakin meningkat terhadap teknologi AI menyebabkan banyak kandungan dalam talian sukar dikenal pasti kesahihannya, berikutan lambakan maklumat palsu yang dihasilkan atau dimanipulasi sepenuhnya menerusi teknologi tersebut.

AI sepatutnya digunakan untuk meringankan kerja-kerja berat atau melakukan kerja marabahaya, bukannya untuk menghasilkan karya kreatif, kertas kajian dan penyelidikan.

Ia tidak boleh dijadikan tempat bergantung harap bagi mendapatkan maklumat dan fakta sahih. Ia sepatutnya digunakan hanya untuk memudahkan carian dan bukannya sebagai tempat rujukan.

Antara masalah besar berkenaan AI ialah ia tidak mengambil kira tentang konteks tempatan. Ini membuka ruang kepada lambakan pengaruh budaya songsang yang merosakkan akhlak rakyat Malaysia.

Namun malang sekali, kebergantungan kepada AI secara melampau dalam kalangan sebahagian pelajar menjadikan mereka tidak mampu menulis dengan baik, apatah lagi untuk berfikir secara kritis.

Walaupun ramai pensyarah melarang penggunaan AI dalam menyiapkan tugasan, namun masih terdapat segelintir pelajar yang mencari jalan untuk menggunakannya secara senyap tanpa pengetahuan pihak berkenaan.

Kita berdepan risiko peningkatan penyebaran maklumat palsu yang semakin meluas dan sukar dikawal apabila masyarakat terlalu bergantung kepada teknologi AI. Keadaan ini boleh menyebabkan masyarakat berada dalam situasi sukar membezakan antara fakta yang sahih dengan maklumat yang mengelirukan.

Hari ini, kita berdepan cabaran besar apabila algoritma media sosial lebih cenderung memaparkan kandungan sensasi dalam suapan pengguna, walaupun bahan tersebut mengandungi maklumat yang tidak tepat, berbanding berita yang berasaskan fakta sahih.

Malah, keadaan menjadi lebih parah apabila ada dalam kalangan pengamal media tradisional turut bertindak memainkan naratif tertentu untuk menjadikan laporan lebih sensasi bagi menarik minat pembaca tanpa mengambil kira akibatnya.

Persoalannya, apakah implikasinya terhadap negara sekiranya penyebaran pelbagai kandungan, termasuk yang dihasilkan oleh AI, dibiarkan berlaku secara bebas tanpa sebarang kawalan dan pemantauan?

Adakah rakyat sudah bersedia untuk berdepan lambakan buku dan filem yang bebas menyebarkan apa-apa sahaja asalkan memberi keuntungan lumayan kepada penerbitnya?

Jangan pula apabila sudah terantuk baru kita mahu mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur baru kita ingin risaukan masa depan yang sudah menimpa. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN