KOTA BHARU: Tindakan pemilik sebuah bengkel di Wakaf Che Yeh di sini yang gagal mempamerkan tanda harga perkhidmatan pembaikan dan alat ganti mengundang padah apabila dikompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan semalam.
Kompaun itu dikeluarkan susulan KPDNHEP Kelantan menerima aduan daripada seorang pengguna berkait dengan caj perkhidmatan yang disediakan oleh bengkel berkenaan.
KPDNHEP Kelantan dalam satu kenyataan berkata, kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana premis gagal menyediakan pendedahan maklumat bengkel dibawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.
Menurutnya, sejurus menerima aduan rasmi daripada mangsa berserta dengan bukti yang lengkap sepasukan anggota telah digerakkan ke bengkel berkenaan untuk membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan, pihak kami mendapati premis berkenaan tidak mempamerkan tanda harga alat ganti.
“Pada masa yang sama, pemilik bengkel turut gagal mempamerkan kos perkhidmatan yang ditawarkan mengikut peraturan bengkel di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
KPDNHEP Kelantan memberitahu, tindakan segera itu bertujuan memberikan pengajaran kepada semua pihak supaya mengikut peraturan yang sedia ada.
Katanya, KPDNHEP kelantan turut mengalu-alukan pengguna untuk membuat laporan sekiranya berlaku penindasan ke atas mereka dengan mengemukakan bukti sebagai rujukan semasa membuat aduan rasmi.
“Para peniaga diingatkan supaya tidak memanipulasi perniagaan serta mengambil kesempatan kepada pengguna,” ujarnya. – UTUSAN









