Evolusi Bersatu buktikan keupayaan syarikat tempatan Sabah

Evolusi Bersatu buktikan keupayaan syarikat tempatan Sabah

SABAH
MOHAMAD TOLLING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang skeptikal terhadap kemampuan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Namun, PETRONAS sebagai syarikat minyak dan gas negara sentiasa memberi peluang kepada pemain industri tempatan untuk melibatkan diri secara aktif dalam menyediakan perkhidmatan bagi operasinya di rantau ini.

Antara pemain yang aktif berkecimpung serta memiliki prestasi baik sepanjang penglibatan mereka ialah syarikat yang berpangkalan di Sabah, Evolusi Bersatu Sdn Bhd (EBSB).

Bermula dengan serba sederhana dua dekad yang lalu, EBSB kini telah berkembang sebagai antara syarikat penyedia perkhidmatan tempatan utama dalam industri minyak dan gas di negeri ini.

Pengarah Urusan EBSB, Muhamad Tolling berkata, syarikatnya yang bertulang belakangkan 100 peratus kepada sumber tenaga tempatan, terlibat secara langsung dalam bidang perkhidmatan, penyelenggaraan serta baik pulih yang merangkumi kejuruteraan awam dan mekanikal untuk industri tersebut.

“Sejak ditubuhkan pada Jun 2002, keterlibatan EBSB dalam industri amat konsisten dengan hala tuju syarikat sehingga mendapat kepercayaan untuk melaksanakan serta mengendalikan kerja-kerja yang diberikan daripada pelanggan-pelanggan kami,” katanya.

Dalam melaksanakan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan, aspek seperti kesihatan dan keselamatan serta persekitaran tempat kerja sentiasa menjadi fokus utama syarikat. Kejayaan EBSB dalam aspek ini terbukti dengan anugerah yang diterima oleh syarikat daripada badan profesional yang diiktiraf.

“Antaranya, Anugerah Emas Kelas 1 oleh Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) untuk tahun 2019 dan 2020, di samping beberapa surat penghargaan untuk kerja-kerja once-off.

“Pada tahun 2018, EBSB telah menerima lantikan daripada PETRONAS untuk turut serta dalam “Contractor HSE Mentorship Programme” yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi pencapaian syarikat dalam aspek Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran untuk industri minyak dan gas secara keseluruhannya,” katanya.

Buktikan kemampuan

Antara kejayaaan utama syarikat berkenaan adalah menerusi pelaksanaan sepenuhnya aktiviti perkhidmatan pembekalan dan pengendalian keseluruhan bahan instrumen untuk kerja-kerja pemulihan di tiga terminal loji milik PETRONAS Carigali Sdn Bhd di Sabah dan Labuan.

Menurut Muhamad, peluang ulung syarikat itu dizahirkan pada tahun 2019 apabila PETRONAS Carigali memberi kepercayaan kepada EBSB untuk melaksanakan kontrak penyelenggaraan

“Provision of Onshore Maintenance, Modification and Construction (ONMCM) for Sabah Package” untuk fasiliti terminal daratan mereka di Sabah.

Tambahnya, apa yang menjadi kebanggaan, EBSB merupakan syarikat tempatan pertama yang berjaya mendapat mandat untuk melaksanakan kontrak tersebut.

Katanya sehingga Mei tahun ini, EBSB telah menyiapkan lebih 130 projek dengan lebih lima juta jam kerja tanpa “loss time injury” (LTI).

Muhamad menyifatkan perkembangan syarikat itu sebagai hasil sokongan daripada semua pihak terutamanya PETRONAS, serta inisiatif kerajaan negeri yang turut banyak membantu syarikat terutamanya dalam sokongan untuk syarikat tempatan meluaskan penyertaaan dalam bidang minyak dan gas di negeri ini.

“Kerajaan negeri banyak menyediakan platform untuk kami menjalinkan hubungan rapat dan jaringan dengan pemain industri dari seluruh Malaysia. Kami juga telah dijemput untuk menghadiri sesi libat urus strategik dengan pelabur dan penyedia perkhidmatan utama dalam industri,” katanya.

Berdasarkan kepada prestasi dan pencapaian syarikat selama ini, Muhamad berkata, EBSB sedia bekerjasama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) untuk membangun dan melaksanakan projek hiliran sejajar dengan keperluan dan pembangunan negeri.

“Kami telah diberi peluang untuk membangun dan mengendalikan Kemudahan Pengurusan Sisa di Sabah Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) di Sipitang yang akan menjadi kemudahan pertama seumpamanya di Sabah yang disasarkan untuk beroperasi pada suku akhir tahun 2024,” katanya lagi

Pembangunan modal insan

Mengenai pembangunan modal insan, Muhamad berkata ia adalah antara aspek yang diberi penekanan utama oleh EBSB, dan menyifatkan tenaga kerja sebagai aset terbesar syarikat.

“Sejumlah besar bajet telah dilaburkan untuk melatih tenaga kerja tempatan bagi mengisi peluang-peluang kerja sedia ada. Aspek kemahiran dibekalkan dan dibangunkan secara bersama.

“Pada masa ini kami mempunyai seramai 600 pekerja tempatan Sabah yang berbakat dan berkemahiran, dari pelbagai latar belakang, yang menjadi tulang belakang operasi syarikat, bukan sahaja di Sabah malah juga di kawasan lain seperti di Sarawak dan Kemaman, Terengganu,” katanya.

Setiap tahun, Muhamad berkata, syarikat berkenaan mengambil graduan baharu sebagai pelatih daripada pelbagai bidang disiplin akademik yang kemudiannya akan melalui proses latihan industri yang dikawal selia oleh bahagian sumber manusia syarikat bagi melahirkan pekerja mahir.

Menurutnya, bagi pekerja separa mahir, EBSB mempunyai hubungan rapat dengan institusi seperti TAS Institute of Oil and Gas, Akademi Binaan Malaysia (ABM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP), dengan mengambil graduan lepasan institusi ini dan menyediakan peluang pekerjaan yang diperlukan sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Peluang untuk membangun

Sedekad lalu, katanya, EBSB memulakan perniagaan secara berhati-hati dalam meneroka peluang yang sesuai dengan keupayaan syarikat pada masa itu.

Dengan galakan dan ruang yang diberikan oleh PETRONAS kepada syarikat tempatan, EBSB berjaya memperoleh “competetive edge” untuk meneroka peluang yang lebih besar dalam industri ini, khususnya di negeri Sabah.

Kehadiran syarikat-syarikat besar yang telah lama berkecimpung dalam industri yang berpangkalan di luar Sabah telah menjadi penanda aras untuk EBSB bekerja lebih giat lagi.

“Hari ini, EBSB semakin matang dan bersedia untuk mengorak langkah lebih jauh hasil persekitaran dan pelbagai peluang yang diwujudkan kepada syarikat-syarikat tempatan.

“PETRONAS menerusi Program Pembangunan Vendor-X (VDPx), telah melantik EBSB sebagai salah satu syarikat pembimbing di Sabah bagi membantu dan membangunkan keupayaan syarikat tempatan agar mereka dapat melibatkan diri secara aktif dalam industri ini,” katanya.

Melalui program itu, EBSB berjaya membawa sebuah syarikat tempatan melalui proses-proses tertentu sehingga berjaya diterima daftar sebagai salah satu vendor untuk PETRONAS.

Peluang pekerjaan juga diberi berdasarkan skop kerja yang dimiliki sebagai proses permulaan untuk berkecimpung dalam industri ini. Bimbingan yang diberikan termasuklah aspek keupayaan teknikal dan dokumentasi, bagi membolehkan mereka bersaing dengan syarikat-syarikat lain.

“Program ini dianggap sebagai satu batu loncatan untuk vendor tempatan mendapatkan bimbingan yang sewajarnya dengan penglibatan secara langsung daripada syarikat utama sebagai mentor, dengan harapan mereka dapat meningkatkan keupayaan dan seterusnya, mewujudkan lebih banyak penyertaan vendor tempatan pada masa hadapan,” katanya.

Ke arah tenaga lestari

Mengenai perancangan EBSB dalam menghadapi peralihan dalam industri tenaga ke arah kelestarian, terutamanya dari segi keupayaan, beliau berkata EBSB sentiasa berusaha untuk sejajar dan responsif kepada sebarang keperluan baharu sama ada daripada pelanggannya mahupun pihak berkuasa yang berkaitan.

“Sebagai persediaan, syarikat kami memang memberi tumpuan kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Kami sedang membangunkan organisasi kami untuk menggabungkan objektif-objektif ini sejajar dengan keperluan yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.”

Muhamad turut mempunyai hasrat untuk melihat EBSB muncul sebagai peneraju tempatan dalam industri minyak dan gas, serta mampu bersaing dalam pasaran global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya