PETALING JAYA: Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bakal berlangsung 11 hingga 18 Oktober depan bakal menampilkan enam pasukan Jelajah Dunia dan empat pasukan Pro Benua untuk membentuk keseluruhan 22 pasukan yang akan bertanding untuk edisi kali ini.
Antara pasukan Jelajah Dunia yang telah mengesahkan penyertaan adalah ProTouch (Afrika Selatan), EF Education-EasyPost (Amerika), dan ARA Pro Racing Sunshine Coast (Oceania).

Edisi yang memasuki kali ke-26 itu, turut akan menampilkan beberapa pasukan baru yang akan menyertai saingan buat julung kalinya, antaranya pasukan UAE Emirates (Emiriah Arab Bersatu), Cofidis (Perancis), Movistar (Sepanyol), Alpecin-Deceuninck (Belgium), Burgos BH (Sepanyol) dan Uno X-Pro Cycling Team (Norway).
Ketua Pegawai Eksekutif Ltdl, Shahaizereen A Hamid menjelaskan pihak sudah lama berhubung dengan kesemua pasukan ini, terutamanya pasukan bertaraf Jelajah Dunia bagi memastikan mereka dapat menyertai Ltdl tahun ini yang kebiasaanya diadakan pada awal tahun.
“Kami dah berhubung dengan mereka sudah lama, sejak sebelum ini lagi, bila saingan ini terpaksa ditunda kerana penularan Covid-19, kami tetap maklumkan kepada mereka ada perubahan dari sudut kalendar Ltdl tahun ini yang dianjakkan ke sekitar hujung tahun.

“Kali terakhir saingan ini menerima penyertaan enam pasukan bertaraf Jelajah Dunia adalah pada 2014, dan dengan kehadiran mereka akan menjadi tarikan terbaik untuk menghidupkan semula saingan ini selepas tergendala pada tahun lalu.
“Insya-Allah kami harapkan anjuran tahun ini akan lebih baik, terutamanya apabila kami berjaya membawa masuk beberapa pasukan Jelajah Dunia menyertai saingan kali ini yang akan menjadikan cabaran lebih sengit,” jelas Shahaizereen kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, tiga pasukan tempatan juga turut mengesahkan penyertaan antaranya Terengganu Polygon Cycling Team, Sapura Cycling Team serta pasukan kebangsaan Malaysia.
Kesemua 22 pasukan ini akan diperkenalkan dalam majlis pengenalan pasukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 11 Oktober depan.- UTUSAN










