Sepak Takraw: Johor sekat hajat Melaka muncul juara edisi pertam

Sepak Takraw: Johor sekat hajat Melaka muncul juara edisi pertama

PEMAIN Johor meraikan kejayaan muncul juara edisi pertama kategori regu di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Johor menafikan kelebihan Melaka selaku tuan rumah apabila muncul juara edisi pertama kategori regu di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini hari ini.

Kemenangan mudah buat Johor menewaskan Melaka 21-17 dan 21-18 dalam perlawanan akhir membolehkan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta piala pusingan, manakala tuan rumah pula menerima RM5,000 selaku naib juara.

Lebih manis buat pasukan yang dilatih bekas tekong kebangsaan, Ahmad Jais Baharun apabila dua pemain mereka iaitu Muhd. Haziq Hairul Nizam dinobatkan tekong terbaik dan Muhd. Noraizat Mohd. Nordin pula merangkul gelaran apit kanan terbaik, masing-masing menerima RM500.

Ahmad Jais berkata, kejayaan muncul juara memang tidak diduga kerana kelebihan Melaka membariskan tiga pemain kebangsaan selain bermain di tempat sendiri.

“Kemenangan juara edisi pertama ini menyemarakkan pemain saya untuk menghadapi Kejohanan Piala Emas Khir Johari pada November ini dan Liga Sepak Takraw (STL) Januari tahun hadapan,” katanya kepada pemberita.

Kelegaan buat Melaka apabila pemain kebangsaan, Mohd. Muqlis Borhan pula menerima anugerah apit kiri terbaik.

Dua pasukan yang tewas di separuh akhir iaitu Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing menerima RM3,000 berkongsi kedudukan di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan turut dihadiri Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Khairul Anuar Ibrahim berkata, kekalahan mudah pasukannya disebabkan kecederaan paha dialami apit kiri kebangsaan, Mohd. Muqlis Borhan dan killer, Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar.

Katanya, faktor kepenatan bermain hingga set penentuan berdepan ATM di suku akhir dan Pulau Pinang di separuh akhir turut menyumbang.

“Ini bukan menjadi alasan tetapi saya terima kekalahan ini dengan hati terbuka kerana pemain telah mengerah seluruh tenaga,” katanya.

Bagi kategori beregu pula, Perak menerusi gandingan Muhammad Asyraaf Abdul Hadi dan Kittiphum Sareebut dinobatkan selaku juara selepas menyekat hajat Melaka menerusi kemenangan 2-1 untuk menerima hadiah wang tunai RM8,000 serta piala pusingan.

Gandingan Melaka, Theeranan Seesawang dan Muhammad Faizulhairy Osman menang di set pertama 21-17 namun tunduk 13-21, 13-21 pulang sebagai naib juara menerima hadiah wang tunai RM4,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya