Remaja larikan bayi perempuan tiada masalah mental

Remaja larikan bayi perempuan tiada masalah mental

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN (dua dari kanan) ketika menziarahi keluarga bayi perempuan yang diculik di rumah mereka di Taman Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Remaja perempuan yang juga suspek utama dalam kejadian melarikan seorang bayi berusia sembilan bulan tidak mempunyai masalah atau gangguan mental.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek yang berusia 14 tahun  itu tidak mempunyai motif lain kecuali hanya mahu menjaga bayi perempuan terbabit seperti anak sendiri. 

“Hasil soal siasat mendapati, suspek tidak sakit sebaliknya datang daripada keluarga yang berpecah-belah dan tidak membesar seperti remaja lain. 

“Kita dapati suspek tiada elemen mahu jual bayi atau yang sepertinya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah keluarga bayi terbabit di Taman Pauh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, suspek utama dan teman lelakinya yang berusia 18 tahun itu disambung reman selama empat hari sehingga 30 Ogos ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Kedua-duanya akan didakwa di mahkamah manakala tiga lagi individu akan menjadi saksi pendakwaan kes.

“Siasatan kita banyak dibantu dengan maklumat awal daripada penduduk setempat sekali gus mempercepatkan operasi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja ditahan selepas melarikan bayi perempuan dari rumah pengasuhnya di sebuah pangsapuri di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah pada pukul 5.30 petang, Selasa lalu.

Mangsa kemudian berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN