Bayi diculik beransur pulih

Bayi diculik beransur pulih

NOOR RAISYA bersama ibu bapanya, Farisha Amirah Zainal dan Mohamad Rahimi di rumah mereka di Taman Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Bayi sembilan bulan, Noor Raisya Mohamad Rahimi yang dilarikan seorang remaja perempuan Selasa lalu semakin pulih biarpun kerap terjaga dari tidur dan menangis pada waktu malam. 

Ibunya, Farisha Amirah Zainal, 24, bagaimanapun berkata, anak tunggalnya itu juga kerap terkejut dan agak ketakutan menjelang senja barangkali kerana masih trauma dengan kejadian itu.

“Saya tidak tahu, mungkin Raisya ada ditengking atau diherdik ketika diculik menyebabkan dia mudah terkejut.

“Bagaimanapun, saya anggap ini sebagai ujian daripada Allah SWT buat kami sekeluarga.

“Kami juga rasa amat bertuah kerana kebiasaannya kes penculikan kanak-kanak yang berlaku selalunya berakhir dengan tragedi, namun Raisya dapat kembali ke pangkuan keluarga tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Pauh, di sini hari ini.

Dalam pada itu Farisha berkata, mereka sekeluarga tidak mungkin akan memaafkan individu yang terlibat dalam kes terbabit.

“Kami serahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan bekerjasama bagi mematuhi prosedur yang perlu dilaksanakan pihak berkuasa.

“Terima kasih kepada PDRM kerana pantas bertindak menyelamatkan anak kami,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja ditahan polis setelah melarikan seorang bayi perempuan dari rumah pengasuhnya di sebuah pangsapuri di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 5.30 petang Selasa lalu.

Mangsa berjaya diselamatkan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT).

Turut ditahan ialah empat lagi kenalannya termasuk teman lelaki suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN