Alasan rizab negeri ‘rahsia kerajaan’ mengarut - Utusan Malaysia

Alasan rizab negeri ‘rahsia kerajaan’ mengarut

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah menyifatkan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mahu berahsia tentang sumber rizab negeri adalah mengarut dan tidak boleh diterima.

Ketua Komunikasinya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, hal berkaitan unjuran tunai dan kewangan negeri adalah hak rakyat yang sememangnya boleh dikongsikan untuk tatapan awam.

“Masyarakat umum berhak untuk mempersoal dan mengetahui sumber dan cara pendapatan negeri dibelanjakan. Tidak ada terma rahsia dalam mengurus kewangan dan unjuran tunai negeri.

“Alasan sumber rizab negeri adalah ‘rahsia kerajaan’ adalah mengarut dan tidak boleh diterima sama sekali. Ia hanyalah taktik culas Menteri Besar Kedah dalam menjawab isu. Beliau sekadar melarikan diri daripada mengambil tanggungjawab terhadap kenyataannya yang cuai,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penjelasan tanpa perincian bahawa rizab RM600 juta dijana melalui penjimatan berhemah kerajaan adalah tidak memadai.

 “Penafian kononnya rizab tersebut bukan daripada hasil menjarah alam dan premium tanah besar-besaran adalah tidak mencukupi. Sepatutnya Menteri Besar Kedah bentangkan apakah langkah-langkah penjimatan berhemah tersebut agar difahami dengan jelas oleh masyarakat.

“Saya rasa negeri lain dan rakyat negeri Kedah punyai hak untuk berkongsi dan sama sekali berbangga dengan kecekapan kerajaan negeri mengurus tadbir kewangan negeri,” tegasnya.

Jelas beliau, perkara berkenaan kritikal kerana jika dilihatkan kepada rekod dan prestasi sebelum ini menunjukkan pentadbiran kerajaan Pas pada tahun 2008 adalah sangat teruk.

“Antara kelemahannya adalah dalam pengurusan bencana yang mengakibatkan banjir besar pada 2010. Aktiviti penggondolan hutan melalui pembalakan yang berleluasa dan besar-besaran.

“Kesemua ini menunjukkan kelemahan tadbir urus yang teruk. Jadi, sekiranya berlaku penjimatan yang didakwa tersebut, Menteri Besar Kedah sekarang harus memperincikannya dengan jelas dan lengkap. Ini adalah satu tanggungjawab yang munasabah dan tidak boleh sama sekali dielakkan dengan alasan tidak berasas seperti ‘kerahsiaan’,” katanya.

Muhammad Sanusi baru-baru ini menyangkal dakwaan bahawa sebahagian besar daripada jumlah rizab simpanan negeri adalah daripada aktiviti pembalakan sebaliknya hasil perbelanjaan berhemah dan sumber kerajaan negeri. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya