PETALING JAYA : Tiga lelaki ditahan selepas terlibat dalam kes pecah pusat servis kereta di sekitar daerah Ampang hingga menyebabkan kerugian RM30,000.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan kesemua suspek dilakukan susulan laporan polis dibuat mengenai kejadian berkenaan pada 5 Ogos lalu.
Kata beliau, pada hari berkenaan, premis terbabit ditutup dalam keadaan baik dan berkunci pada pukul 6.30 petang.
“Bagaimanapun pada 7.50 pagi keesokannya, pekerja pusat servis kereta datang mendapati premis terbabit dalam keadaan berselerak dan dipecah masuk.
“Susulan itu, polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam semalam yang mana suspek pertama memiliki lapan rekod jenayah lampau manakala suspek kedua satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis juga berjaya merampas barang yang dilaporkan hilang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi tindakan selanjutnya.
“Polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah kedai di dalam daerah Ampang Jaya, Subang, Sungai Buloh dan Alor Gajah, Melaka.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN










