Hamzah dipilih sebagai ketua pembangkang kerana prestasi

Hamzah dipilih sebagai ketua pembangkang kerana prestasi

TUAN Ibrahim Tuan Man menerima borang keahlian Pas daripada Bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek pada Program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di Markas Pas Seremban di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan Pas memilih Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang baharu adalah berdasarkan prestasinya serta sokongan yang diterima daripada blok pembangkang di Parlimen.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sejak awal lagi menyokong Hamzah untuk terus menerajui blok pembangkang.

“Sebenarnya daripada awal kami mengekalkan Datuk Seri Hamzah kerana prestasi beliau dan ramai dalam kalangan ahli Parlimen yang bersama beliau.

“Sebab itu apabila beliau menubuhkan parti (Parti Wawasan Negara) dan bersama dengan kami, kami fikir teruskan mengekalkan beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di Markas Pas Seremban di sini malam tadi.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, isu yang timbul sebelum ini lebih berkait dengan ketidakselesaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Hamzah selepas beliau dipecat daripada parti berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, kemasukan 15 tokoh baharu ke dalam Pas seperti yang diumumkan dalam program ceramah berkenaan merupakan perkembangan positif yang mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap perjuangan parti itu.

Katanya, penyertaan tokoh daripada pelbagai latar belakang dijangka mampu memberikan momentum baharu kepada Pas serta gabungan politik yang dianggotainya.

“Insya-Allah, ini akan mempunyai satu momentum dalam gabungan kerjasama politik dengan rakan-rakan lain dan memberi semangat kepada orang lain untuk bersama-sama dalam perjuangan Pas,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat beberapa individu termasuk bekas pemimpin UMNO yang sedang melalui proses untuk menyertai Pas.

Mengulas kemunculan parti-parti baharu menjelang pilihan raya, Tuan Ibrahim berkata, Pas mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan gabungan itu.

“Saya mengalu-alukan semua parti yang mahu bersama dengan kami dalam wadah politik termasuk parti-parti baharu.

“Walaupun Pas menjadi anchor kepada gabungan tersebut, kita lihat parti-parti rakan mahu bersama dan kita alu-alukan semua pihak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang, namun tarikh mesyuarat itu masih belum ditetapkan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dari Pas belum diterima oleh kepimpinan pusat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN