PETALING JAYA: Penjaga gol berpengalaman negara, Khairul Fahmi Che Mat mengakui faktor keluarga kini menjadi keutamaan dalam menentukan destinasi baharunya selepas menamatkan perjalanan bersama Sabah FC.
Selepas hampir lima tahun berpisah dengan keluarga demi meneruskan karier di Borneo, bekas penjaga gol kebangsaan yang lebih mesra disapa Apek itu berhasrat kembali beraksi lebih dekat dengan keluarga bagi musim 2026-27.
Meskipun menerima beberapa tawaran daripada kelab Liga Malaysia (Liga M), penjaga gol berusia 37 tahun itu menegaskan keputusan yang bakal dibuat bukan hanya berdasarkan aspek bola sepak semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pengorbanan keluarga yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang tempoh beraksi di Sabah.
Menurutnya, sudah tiba masanya untuk dia pula memberikan keutamaan kepada keluarga selepas mereka sekian lama berkorban dan menerima hakikat hidup berjauhan demi kerjayanya sebagai pemain profesional.
“Ada beberapa tawaran juga untuk musim depan tetapi saya memang akan pilih yang mana dekat dengan keluarga sebab ketika berada di Sabah, mereka sudah banyak berkorban untuk saya, sanggup tinggal berjauhan lama.
“Jadi, sekarang sudah tiba masa untuk saya pula berkorban untuk mereka dan pada masa sama, memang niat hendak bermain untuk buktikan yang saya masih lagi mampu beraksi walaupun di peringkat tertinggi.
“Bagi saya, usia bukan penghalang untuk bersaing dan kita tahu juga, untuk posisi penjaga gol di liga-liga luar negara, masih ada yang berusia 40 tahun tetapi bermain di liga tertinggi.
“Motivasi saya sekarang pun untuk keluarga juga sebab mereka sentiasa menyokong untuk terus bermain sehingga sekarang,” katanya.
Walaupun bakal mencecah usia 38 tahun musim depan, Apek masih belum terfikir untuk menggantung sarung tangan dan mahu terus membuktikan kemampuannya bersaing di peringkat tertinggi.
Prestasinya bersama Sabah FC sejak menyertai kelab itu pada musim 2022 turut membuktikan pengalaman masih menjadi aset berharga apabila merekodkan 65 penampilan dalam semua pertandingan selain mengumpul 17 aksi tanpa bolos.-UTUSAN










