UKM yakin mampu bangkit benam UPNM - Utusan Malaysia

UKM yakin mampu bangkit benam UPNM

Para penyokong yang turut memeriahkan suasana sepanjang Piala Menteri Pengajian Tinggi berlangsung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara tiga kali Piala Menteri Pengajian Tinggi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yakin dapat memadamkan kelebihan agregat tipis 1-0 milik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada perlawanan akhir kedua malam ini.

Keyakinan itu disuarakan UKM berdasarkan kelebihan selaku tuan rumah pada perlawanan akhir kedua ini selain berjaya mencipta kejutan menyingkirkan pasukan pilihan yang juga juara empat kali, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di peringkat separuh akhir.

Selain itu, UKM juga dijangka dapat menurunkan barisan terkuatnya dengan dalam perlawanan akhir kedua selepas kembali mendapatkan khidmat pertahanan utama, Muhammad Talha Rosli yang mengalami kecederaan sebelum ini.

Penjaring terbanyak UKM, Zarul Aidiel Abdul Aziz juga yang berazam untuk menamatkan kemarau jaringan sejak peringkat suku akhir dan berharap perlawanan terakhir menentang UPNM nanti menjadi medan kebangkitannya.

Aura Piala Menteri Pengajian Tinggi berjaya menarik penyokong hadir memberi sokongan.

“Pihak pengurusan mahu UKM mengulangi sejarah selepas menjuarai tiga kali juara Piala Menteri pada 2010, 2014 dan 2019. Sudah dua tahun kejohanan ini tidak dapat dianjurkan akibat Covid-19, kini ia kembali dan kami sekali lagi ke pentas final.

“Walaupun tewas pada perlawanan akhir pertama 1-0, kami yakin mampu untuk bangkit dengan kelebihan bermain di laman sendiri walaupun ketinggalan satu gol,” kata Pengurus Pasukan UKM, Azran Salehudin.

Sementara itu, UPNM yang berkunjung ke Stadium Pelawat di Bangi tidak gentar dengan kelebihan yang dimiliki oleh UKM malah, mereka juga akan membawa penyokong bagi memberikan semangat kepada pemain.

Pada final pertama minggu lalu, Ketua Pasukan N.Thineswaran memberi kelebihan buat UPNM dengan agregat 1-0 menerusi jaringan seawal minit kedua perlawanan di Stadium UPNM, Sungai Besi.

“Saya harap pemain-pemain UPNM dapat mengekalkan semangat juang yang tinggi untuk perlawanan akhir kedua ini. Apa pun keputusannya UPNM telah melakar sejarah,” kata ketua jurulatih UPNM, Hairul Nizar Nur Halim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN