JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun didakwa menjadi mangsa dera oleh guru terapi di sebuah pusat terapi di Skudai, dekat sini awal bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, isu yang ditularkan oleh ibu mangsa dalam media sosial semalam masih dalam siasatan pihak polis.
Beliau berkata, semua pihak terbabit termasuk guru terapi berkenaan telah diambil keterangan untuk membantu siasatan.
“Selepas siasatan awal ke atas pengaduan tersebut, kanak-kanak terbabit telah dirujuk ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan perubatan.
“Kanak-Kanak itu juga dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru bagi mendapatkan penilaian khusus oleh pakar kanak-kanak terhadap status kesihatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pemilik akaun bernama Cik Puan Zetty melahirkan rasa terkilan apabila anak istimewanya, berusia enam tahun yang dihantar untuk menjalani terapi didakwa menjadi mangsa dera di pusat terapi berkenaan.
Dera
Dia menghantar anaknya ke pusat terapi itu sejak 2019 dan kejadian dera itu dikesan pada 7 Julai lalu dengan kesan lebam pada bahu kiri serta kesan cubitan pada dada.
Dakwanya, kejadian itu bukan pertama kali , namun didawa sudah beberapa kali anaknya cedera, tetapi pihak terapi mendakwa kecederaan disebabkan aktiviti terapi.
“Kami bawa anak ke Hospital Kulai pada keesokan harinya (8 Julai) dan doktor sahkan kecederaan ini serius, bukan kerana aktiviti seperti yang mereka maklumkan. Ini menyebabkan kami buat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai dan mereka serahkan kes kami ke IPD Johor Bahru Utara.
“Polis minta mangsa dirujuk ke Pakar Kanak-Kanak di Hospital Sultan Ismail, kami dah buat. Laporan perubatan yang dikeluarkan mengesahkan anak saya didera (alleged physical abuse),” katanya menerusi hantaran dalam Facebook semalam.
Mengulas lanjut, Rupiah berkata, polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.- UTUSAN