KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) mengecewakan Kedah Darul Aman (KDA) buat kali kedua berturut-turut kali ini dalam kempen Liga Super apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu membolehkan TFC merampas kedudukan KDA di tempat keempat dengan memungut 16 mata dari sembilan perlawanan manakala KDA jatuh ke tempat kelima dengan 14 mata.
Tuan rumah hanya memerlukan 13 minit untuk membolosi pintu gol KDA melalui Kpah Sherman yang mudah menyambar hantaran leret Faisal Abdul Halim dari sebelah kanan.
Memasuki minit ke-23, KDA berpeluang menyamakan kedudukan berpunca umpanan Ariff Farhan Md. Isa namun tolakan Ronald Ngah Wanja di depan pintu gol tinggi melepasi sasaran.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu terus kempunan untuk mengimbangi permainan apabila rembatan kencang Ariff Farhan pada minit ke-36 sekadar menggegar palang.
Aksi semakin rancak menuju rehat giliran TFC menguji kubu pelawat malangnya Faisal (m-43) mensia-siakan situasi satu lawan satu sebelum tindakan susulan Sherman diselamatkan penjaga gol.
Serangan bertali-arus TFC membuahkan hasil setelah Manuel Ott menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim yang gagal menyelamatkan sepakan luar kotak penalti pada minit ke-57.
Pemain gantian, Azammuddin Akil menjaringkan gol saguhati KDA namun jaringannya dalam masa kecederaan sudah terlewat untuk menghalang keputusan 2-1 berpihak TFC. – UTUSAN ONLINE