LANGKAWI: Pulau Langkawi mencatatkan kemasukan hingga 1.1 juta pengunjung pada enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya yakin pusat pelancongan ini akan mencapai sasaran kemasukan pelancong sebanyak 2.5 juta orang pada tahun ini.
“Pada bulan Jun sahaja kita merekod lebih daripada 200,000 kedatangan pelancong semasa pelaksanaan Karnival Langkawi Geopark 2022.
“Jadi kita dalam laluan yang betul bagi mencapai sasaran iaitu 2.5 juta pelancong pada tahun ini,” katanya selepas merasmikan Program Cuci-Cuci Langkawi@Gunung Raya Granite Siri 2/2022 di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, hari ini.
Program disertai 180 orang peserta dari 15 buah agensi kerajaan dan swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta komuniti setempat sebagai inisiatif LADA dalam meneruskan usaha pemuliharaan khazanah alam khususnya di Hutan Simpan Gunung Raya.
Menurut Nasaruddin, program itu merupakan penutup kepada Karnival Langkawi Geopark 2022 yang berlangsung selama sebulan pada Jun.
Pelancong-pelancong yang berkunjung turut memeriahkan Karnival Langkawi Geopark ini antaranya mereka dari Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan.
Tambahnya, secara tidak langsung mesej mengenai kempen kesedaran geopark turut tersebar kepada pelancong disamping memberi kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan penglibatan komuniti dalam memperkasakan status geopark Langkawi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). – UTUSAN