ECERDC, Kelstone, JOGMEC teroka potensi nadir bumi

ECERDC, Kelstone, JOGMEC teroka potensi nadir bumi di Kelantan

WAKIL dari Kelstone Sdn Bhd dan JOGMEC sebelum pemeteraian memorandum perjanjian baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) meneroka potensi nadir bumi di kawasan terpilih di Kelantan menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara Kelstone Sdn. Bhd. dan Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC).

Kerjasama itu difasilitasi oleh ECERDC di bawah rangka kerja memorandum kerjasama (MoC) ECERDC–JOGMEC, yang menyokong pembangunan nadir bumi secara tersusun dan mampan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

ECERDC, Kelstone dan JOGMEC berkata, MoA tersebut membolehkan kedua-dua pihak melaksanakan program tinjauan yang dipersetujui bagi menilai potensi teknikal serta aspek penting lain berkaitan pembangunan sumber nadir bumi secara bertanggungjawab dan mematuhi peraturan sedia ada.

Katanya, satu jawatankuasa pengurusan bersama akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan ECERDC turut bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan tadbir urus dan penyelarasan berkesan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memajukan penerokaan nadir bumi secara bertanggungjawab, di samping mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun,” katanya dalam kenyataan bersama.

Usaha tersebut turut menyokong pembangunan rantaian nilai nadir bumi yang mampan, selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain menyumbang kepada agenda pembangunan industri strategik negara.

Inisiatif berkenaan menandakan langkah penting dalam merealisasikan potensi nadir bumi Kelantan dengan penekanan terhadap ketelusan, kemampanan dan pematuhan kepada objektif pembangunan nasional serta wilayah.

 Dianggarkan hampir 70 peratus rizab pembangunan nadir bumi (REE) negara berada di negeri-negeri ECER. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×