Mah Sing, KLK Land bangun taman perindustrian RM2.26 bilion

Mah Sing, KLK Land bangun taman perindustrian RM2.26 bilion di Kulai

LEONG Hoy Kum (kiri) dan Lee Oi Hian (kanan) menyaksikan perjanjian itu ditandatangani oleh wakil pengurusan antara Mah Sing and KLK Land.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) jalin usaha sama strategik dengan KLK Land Sdn. Bhd. bagi membangunkan taman perindustrian bernilai RM2.26 bilion di atas tanah pegangan bebas seluas 169.65 hektar di Kulai, Johor, yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Mah Sing dalam kenyataannya berkata, projek yang dikenali sebagai MS Industrial Park @ Kulai itu akan dibangunkan menerusi struktur usaha sama dengan pegangan ekuiti 60 peratus oleh Mah Sing dan 40 peratus oleh KLK Land, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

“Tanah berkenaan diperoleh pada harga kira-kira RM274 juta dan pembangunan itu dijangka menjadi hab perindustrian utama bagi menyokong pertumbuhan ekosistem industri dan logistik Johor.

“Mah Sing akan menerajui perancangan, pembangunan serta pelaksanaan projek tersebut selari dengan strategi pengembangan portfolio hartanah perindustriannya dan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya. 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kerjasama itu menandakan pencapaian penting dalam peluasan segmen perindustrian kumpulan.

“Kami memberi tumpuan kepada pembinaan platform perindustrian bersepadu yang menghimpunkan pemain industri utama, pembekal serta rantaian nilai yang lebih luas. 

“Matlamatnya adalah mewujudkan persekitaran perindustrian mampan yang menyokong transformasi industri negara serta pertumbuhan jangka panjang Mah Sing,” katanya.

Beliau berkata, Johor kekal sebagai kawasan pertumbuhan strategik susulan kedudukannya yang berdekatan dengan Singapura, rangkaian infrastruktur yang baik serta inisiatif dipacu kerajaan seperti JS-SEZ dan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian berkata, usaha sama tersebut sejajar dengan strategi jangka panjang KLK Land untuk membuka nilai tanah miliknya di Kulai serta mengukuhkan portfolio pembangunan perindustrian.

“Kerjasama ini membolehkan pembangunan fasa awal yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan menyeluruh tanah seluas kira-kira 1,011.72 hektar yang dirancang sebagai bandar perindustrian bersepadu,” katanya.

Menurutnya, kawasan Kulai dan JS-SEZ dilihat sebagai koridor pertumbuhan penting yang menyokong landskap industri Johor dan pertumbuhan ekonomi mampan.

MS Industrial Park di Kulai dirancang sebagai pembangunan perindustrian bersepadu merangkumi kilang kluster, kilang berkembar, kilang sesebuah serta tanah perindustrian kosong bagi gudang, hab logistik dan pusat data. 

Pembangunan itu disasarkan untuk menyokong industri pembuatan termaju, logistik dan teknologi berimpak tinggi.

Projek berkenaan turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan JS-SEZ yang menurut Belanjawan 2026 telah menarik pelaburan berjumlah RM66.1 bilion, sekali gus mengukuhkan peranan Johor sebagai enjin pertumbuhan ekonomi di koridor selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×