PETALING JAYA : Istilah kekalahan tidak seharusnya berada dalam kamus Harimau Malaya seandainya ingin melayakkan diri di kejohanan Piala Asia 2023, Jun tahun depan.
Justeru, pertembungan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini adalah perlawanan yang seharusnya ditamatkan dengan keputusan sekurang-kurangnya berkongsi mata.
Namun seandainya Malaysia ingin meloloskan diri lebih awal dan mencerahkan laluan, kutipan tiga mata adalah langkah terbaik serta tepat buat anak didik Kim Pan Gon.
Di atas kertas, Bahrain menjadi pasukan pilihan berdasarkan kedudukan ranking yang menyaksikan mereka di tangga ke-89 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-154.
Begitupun, dalam bola sepak dunia sudah terbukti kedudukan ranking bukanlah satu kelebihan untuk mana-mana pasukan buktinya Belgium yang menghuni ranking kedua dunia tewas di tangan Belanda (ke-10), malah Itali yang merupakan juara EURO 2020 gagal layak ke Piala Dunia.
Dalam bola sepak, tiada yang mustahil kerana aksi 90 minit di padang bakal mengubah keputusan kepada pasukan yang mampu mempamerkan aksi terbaik.
“Kami bukan mahu bermain untuk kalah tetapi kami mahu menang dan kutip tiga mata penuh.
““Saya tidak mahu pemain tahu siapa yang akan turun nanti, saya hanya akan dedahkan pemain mana yang akan diturunkan beberapa jam sebelum perlawanan bermula,” ujar Pan Gon.