Melaka United puas hati catat keputusan seri - Utusan Malaysia

Melaka United puas hati catat keputusan seri

KAPTEN Melaka United, Sony Norde (kiri) bersaing dengan pemain Negeri Sembilan, Che Rashid Che Halim (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka, malam semalam.-UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka United (MU) masih belum mengalah untuk memburu tiga mata, walaupun gagal mengambil kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super, malam semalam.

Jurulatihnya, Asri Mohd. Ninggal berkata, pertemuan dengan Sarawak yang menduduki tangga ke-11 Liga Super pada Sabtu depan adalah peluang terbaik untuk mengutip tiga mata penuh sebelum disusuli melayan kedatangan pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurutnya, keyakinan untuk mengatasi Sarawak di tempat sendiri berikutan kehadiran semula pemain pertahanan kental, Mohd. Fadhli Mohd. Shas dan penyerang import, Emmanuel Oti Essigba yang masih berada di Ghana.

“Kedua-dua pemain ini tidak berada dalam kesebelasan utama berdepan Negeri Sembilan, sedikit mencacatkan rentak permainan namun saya lega dapat mengutip satu mata.

“Berdepan Sarawak Sabtu depan, Oti dan Mohd. Fadhli dapat diturunkan serta berharap pertahanan import, Justin Baas dapat pulih daripada cedera yang memaksa dia dikeluarkan pada babak kedua berdepan Negeri Sembilan.

“Kita ada peluang kutip tiga mata berdepan Sarawak. Itu menjadi moral semangat pemain yang selepas itu menanti kunjungan JDT di tempat sendiri,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat aksi di Stadium Hang Jebat, semalam (Sabtu).

AKSI pemain Melaka United dan Negeri Sembilan ketika kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka, malam semalam.- UTUSAN/RASUL AZLI SAMA

Asri mengakui skuad bimbingannya tidak bermain pada tahap sebenar tetapi berupaya menyekat dan menghalang jentera serangan skuad kendalian K. Devan daripada mencipta jaringan.

Keputusan seri itu menyaksikan MU turun satu anak tangga daripada tempat kelapan, kini berada di kedudukan kesembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN