PETALING JAYA: Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 ketika ini masih lagi melaksanakan misi pengaman di Lubnan ketika gesaan supaya pasukan itu yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerusi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) untuk segera keluar dari negara berkenaan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, ketika ini misi pengaman itu masih dilaksanakan seperti biasa dengan tahap kawalan keselamatan yang dipertingkatkan.
Namun beliau tetap berharap supaya pasukan Malbatt dapat dibawa keluar dari negara berkenaan sekiranya keadaan semakin meruncing ekoran serangan berterusan Israel.
“Harapan saya jika keadaan konflik kritikal sehingga menjejaskan keselamatan dan keberadaan Malbatt, trup Malbatt perlu ditarik keluar atas pertimbangan dan pengarahan yang jelas dengan mengambil kira semua faktor kritikal.
“Tindakan tersebut perlu dengan kebenaran dari Pejabat PBB dan diselaraskan markas UNIFIL secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan menghantar memorandum kepada PBB supaya supaya pasukan pengaman dibawah UNIFIL termasuk Malbatt dibawa keluar dengan kadar segera.
Ia susulan serangan berterusan tentera israel terhadap Lubnan yang turut mengorbankan beberapa anggota UNIFIL sebelum ini.
Dalam pada itu, Malek Razak berkata, rundingan tersebut perlu dilaksanakan di bawah Kementerian Luar sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah keselamatan anggota Malbatt 850-13 tanpa menjejaskan komitmen Malaysia dalam sebarang misi pengaman antarabangsa.-UTUSAN.










