KOTA BHARU: Kemarau di negeri ini merekodkan kerugian hasil padi sebanyak RM5.43 juta, dengan 2,738 hektar sawah terjejas akibat fenomena cuaca kering sehingga 31 Mac lalu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abd. Samad berkata, daripada jumlah itu, 905 hektar atau 3.64 peratus disahkan musnah sepenuhnya akibat cuaca kering yang berpanjangan.
Katanya, keadaan itu memberi kesan ketara terhadap pengeluaran padi dan menjejaskan pendapatan pesawah di kawasan terlibat.
“KADA melaksanakan beberapa langkah proaktif termasuk penggunaan pam penggalak dan pam mudah alih bagi membantu operasi pam utama di kawasan terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pembinaan telaga tiub di lokasi bersesuaian turut dijalankan bagi menyediakan sumber air alternatif kepada petani dalam tempoh kritikal ini.
Khalid berkata, agensi berkenaan akan terus memantau situasi semasa dan komited membantu pesawah mengurangkan kesan bencana, khususnya dalam menghadapi perubahan cuaca tidak menentu.
Katanya, petani yang mengalami kerugian boleh membuat tuntutan melalui Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang disediakan kerajaan.
“Mereka boleh merujuk kepada Penolong Pegawai Kawasan masing-masing untuk tindakan lanjut dan proses tuntutan malah komited memperkukuhkan sistem pengairan bagi memastikan sektor penanaman padi tidak terjejas pada musim akan datang,” katanya. – UTUSAN










