Kemarau: Penternak lembu kurang bekalan makanan

Kemarau: Penternak lembu kurang bekalan makanan

ROSNANI Ibrahim terpaksa memberi makan lebih banyak dedak kepada lembunya apabila rumput kering akibat kemarau di Kampung Serongga Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Cuaca panas dan kemarau berpanjangan yang melanda ketika ini menyebabkan penternak lembu di negeri ini dan Kelantan berdepan masalah kekurangan sumber makanan kerana rumput menjadi kering serta kekuningan.

Situasi itu sekali gus menyebabkan kos menternak meningkat apabila terpaksa menggunakan lebih banyak dedak bagi menampung kekurangan bekalan rumput supaya lembu tidak kelaparan dan cukup makanan.

Penternak juga terpaksa mengambil langkah alternatif itu bagi memastikan kelangsungan ternakan mereka walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi.

Seorang penternak dari Marang, dekat sini, Abdullah Mamat, 70, berkata, kemarau mengakibatkan rumput yang ditanamnya di beberapa kawasan lambat membesar kerana kekurangan air dan menjadi kekuningan.

“Lazimnya, rumput yang saya tanam dan diambil mengikut pusingan mencukupi sebagai sumber makanan sembilan ekor lembu. Tetapi kali ini rumput di hampir semua kawasan yang ditanam menjadi kering, pendek dan kekuningan.

“Mahu tidak mahu saya terpaksa menggunakan lebih banyak dedak supaya sembilan ekor lembu tidak kelaparan walaupun menelan kos tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang penternak lembu dari Kampung Serongga, Pasir Mas, Kelantan, Azmi Jusoh, 56, berkata, dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan rumput bagi lapan ekor lembu ternakannya.

“Saya terpaksa melepaskan lembu di padang dan kebun getah supaya haiwan itu dapat mencari makanan sendiri. Saya sudah habis ikhtiar untuk mendapatkan rumput kerana hampir semua kawasan berumput menjadi kering,” katanya.

Azmi berkata, keadaan itu memaksanya membeli dedak sebagai makanan tambahan walaupun kosnya semakin meningkat.

“Harga seguni dedak seberat 50 kilogram mencecah RM62 dan hanya mampu bertahan seminggu,” katanya.

Seorang lagi penternak, Rosnani Ibrahim, 44, berkata, dia terpaksa mencari rumput sejauh lima kilometer dari rumahnya bagi menampung keperluan ternakan.

“Namun, hampir semua kawasan mengalami keadaan sama. Panas melampau menyebabkan rumput menjadi kuning dan kering,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN