Maloney enggan fikir masa depannya - Utusan Malaysia

Maloney enggan fikir masa depannya

Uzbekistan
BRAD MALONEY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney mengakui belum masa yang sesuai untuk memikirkan mengenai masa depannya selepas menyaksikan pasukan telah tersingkir pada kempen Piala Asia B-23 di Uzbekistan ketika ini.

Skuad negara tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan C dan kali ini ditangan seteru tradisi, Thailand dengan keputusan 0-3 pada perlawanan di Stadium Budyonkor, awal pagi semalam.

Situasi tersebut menyaksikan harapan skuad negara untuk mara ke peringkat suku akhir telah tertutup meskipun masih berbaki satu perlawanan apabila dijadualkan bertemu Vietnam pada malam esok.

Jelas Maloney, status mengenai kedudukannya selaku pengendali akan dibincangkan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejurus pulang ke tanah air selepas tamat perlawanan terakhir nanti.

“Saya masih belum tahu tentang perkara ini dan sudah tentu ia akan dibincangkan dengan pihak pengurusan FAM apabila kami pulang nanti,” kata pengendali import dari Australia itu.

Mengulas mengenai aksi berdepan skuad Gajah Perang, Maloney mengakui pasukan kendalian Worrawoot Srimaka layak untuk mengutip tiga mata berharga selepas anak-anak buahnya gagal memberikan tumpuan yang diharapkan.

“Pada 20 minit pertama kami bermain dengan baik tetapi selepas dibolosi, pemain sudah kehilangan arah dan sudah tentu sukar buat kami untuk bangkit daripada ketinggalan.

“Saya tidak boleh nafikan Thailand layak untuk menang pada perlawanan ini kerana mereka memanfaatkan peluang terhidang dan situasi sebaliknya berlaku dengan pasukan kami,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN