PETALING JAYA: Pengurus pasukan Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyifatkan keputusan pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang mahu berundur daripada mengendalikan pasukan satu kerugian yang amat besar kepada bola sepak Malaysia.
Pan-gon berkata, dia terkejut dengan keputusan (TMJ) yang mahu berundur daripada mengendalikan JDT dan menggesa bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu untuk pertimbangkan semula keputusannya.
“Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.
“Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” ujarnya.
Pan-gon yang juga Ketua jurulatih Harimau Malaya menjelaskan, sebelum ketibaannya di Kuala Lumpur dia sudah tahu dan sedar akan pengaruh besar Tunku Ismail terhadap bola sepak Malaysia.
“Tunku Ismail meletakkan JDT ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.
“Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini yang mana JDT telah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia sekaligus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.
“Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan,” kata Pan Gon.
Tambahnya lagi, Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan juga.
“Di bawah kendaliannya, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.
“Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.
“Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah.
“Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor. Dengan infrastruktur yang ada, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini.
“Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” katanya.
Jelas Pan-gon, dengan prestasi disumbang JDT ini, ia membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri.