BESUT: CIMB Islamic Bank Berhad memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM750,000 kepada 40 pelajar asnaf menerusi pendekatan keusahawanan agro lestari tanaman premium Melon Manis Terengganu (MMT).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, peruntukan itu diberikan sejak 2023 secara berperingkat yang bertujuan mempertingkat latihan dan pengeluaran projek tanaman MMT di empat rumah hijau yang terletak di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut.
“Selain menyokong peserta secara individu, program ini turut melahirkan generasi baharu agropreneur yang bersedia menghadapi masa hadapan dengan menyediakan laluan praktikal dan mampan untuk belia terlibat dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi untuk negara, terutama pertanian moden, menyumbang kepada landskap sekuriti makanan yang lebih berdaya tahan dan inklusif dalam jangka panjang.
“Melalui pengintegrasian keterangkuman kewangan dan pembinaan keupayaan secara terancang ini, CIMB dapat memperkasa pelajar untuk menjana sumber pendapatan yang berdaya tahan d isamping mengukuhkan rantaian nilai agro tempatan dan memperluas peluang pendapatan di Terengganu, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Kohort ke-2 iTEKAD CIMB Islamic Melon Manis Terengganu Graduate Agrpreneur Programme di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, ketika ini projek MMT itu dijalankan di empat buah rumah hijau yang mana ia mampu menghasilkan lebih 15,000 biji buah bagi satu kitaran. – UTUSAN










