Federer mahu kembali turun gelanggang - Utusan Malaysia

Federer mahu kembali turun gelanggang

ROGER Federer.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

LAUSANNE: Proses pemulihan yang lambat kini merencatkan perancangan bekas pemain tenis No.1 dunia, Roger Federer untuk membuat kemunculan semula dalam sukan yang dicintainya itu.

Federer mengakui segala proses pemulihan daripada pembedahan lutut bergerak perlahan dan dia tidak beraksi di gelanggan sejak kekalahan di suku akhir Wimbledon hampir setahun lalu.

Selepas kekalahan itu, pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali itu menjalani pembedahan ketiga pada lututnya dan ranking dunianya merosot di kedudukan ke-50, terendah dalam tempoh 22 tahun.

Kini bintang tenis Switzerland itu lebih banyak meluangkan masa dengan empat anaknya namun, masih berhasrat untuk kembali beraksi di Piala Laver di London pada penghujung September depan iaitu selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-41.

“Saya menjalani pembedahan pada penghujung Ogos tahun lalu dan orang bertanya kepada saya ‘Jadi, bagaimana keadaannya?’. Dan setiap kali saya perlu menjawab bahawa ia akan mengambil sedikit masa lagi,” katanya.

“Saya hanya perlu bersabar, saya membuat kemajuan yang berterusan,” katanya yang turut memberi tumpuan kepada keadaan fizikal dengan pergi ke gim lima hingga enam kali seminggu.

Selepas Piala Laver bermula 23 hingga 25 ​​September depan, Federer turut berhasrat untuk beraksi di kejohanan dekat kawasan kelahirannya di Basel pada 24 hingga 30 Oktober.

Untuk rekod, Federer telah memenangi 103 trofi sepanjang kariernya namun aksinya merudum dan hanya beraksi 13 perlawanan pada tahun lalu dan hanya enam kali pada 2020.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN