KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal selepas badannya mengandungi dadah jenis methamphetamine kini terpaksa ditidurkan apabila keadaannya semakin lemah.
Ibu mangsa yang berusia 36 tahun berkata, sejak anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) sindrom down itu dimasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRZPII) masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif sejak kelmarin.
Menurutnya, dia bertemu dengan anak bongsu daripada tiga beradik itu selama setengah jam malam tadi dan sempat menyentuh serta mengusap badan kanak-kanak tersebut yang masih tidak sedarkan diri.
“Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan akibat kesan dadah jenis methamphetamine yang membuatkan dirinya lemah.
“Saya tidak sanggup melihat keadaannya ketika ini. Meskipun tidak sedarkan diri, saya tetap memanggilnya dan berbisik supaya dia dapat membuka mata,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wanita tu memberitahu, dia sentiasa berdoa agar anaknya sedarkan diri meskipun tidak boleh berjalan seperti biasa asalkan dia dapat melihat kembali bertentang mata kanak-kanak tersebut.
Katanya, anaknya yang mempunyai masalah pertuturan itu baharu sahaja boleh berjalan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang sedang menerima rawatan di HPRZII di sini dilaporkan kritikal selepas pemeriksaan mendapati tubuhnya tinggi dengan kandungan dadah jenis methamphetamine.
Kejadian itu disedari oleh ibunya kira-kira pukul 5 pagi semalam apabila mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan lemah dan muka bertukar biru sebelum membawanya ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Husin berkata, kanak-kanak itu diletakkan di bawah pemantauan doktor pakar dan keadaannya dilaporkan stabil. –UTUSAN ONLINE










