PETALING JAYA: Kehadiran lebih 61,000 penyokong ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini sudah pasti akan membakar semangat pemain-pemain Harimau Malaya apabila turun berdepan Bahrain, malam ini.
Setakat jam 5 petang, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook rasmi mereka mendedahkan sebanyak 61,864 tiket telah terjual.
Daripada jumlah itu, bermakna masih terdapat lagi baki tiket yang boleh dibeli peminat-peminat bola sepak negara secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.
“Ayuh cergas rakyat Malaysia, lagi 18,136 lagi. Misi 80,000, Misi ‘Full House’ SNBJ. 3 mata hari ini,” tulis Abdullah Umar.
Dalam pada itu, kemenangan ke atas Bahrain bukan sahaja mampu melonjak kedudukan ranking Malaysia, malah bakal mencerahkan peluang skuad kebangsaan layak ke Piala Asia tahun depan. – UTUSAN ONLINE










