Tiga penduduk Israel hilang, bangunan runtuh akibat serangan Iran

Tiga penduduk Israel hilang, bangunan runtuh akibat serangan Iran

PASUKAN menyelamat mencari 3 penduduk yang hilang di bawah runtuhan di Haifa semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Bomba Israel sedang mencari tiga individu yang masih hilang di bawah runtuhan sebuah bangunan kediaman di bandar utara Haifa selepas terkena serangan peluru berpandu Iran pada Ahad.

Serangan tepat itu mengenai sebuah bangunan tujuh tingkat dan sebahagian struktur bangunan itu musnah menyebabkan empat orang cedera, menurut pihak tentera serta perkhidmatan penyelamat.

Kejadian  berlaku beberapa minit selepas pihak tentera memberi amaran bahawa mereka telah mengesan satu lagi gelombang baharu peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.

Jurucakap tentera berkata kepada AFP berkata, bangunan tersebut terkena impak langsung peluru berpandu. Beliau mengesahkan bahawa peluru berpandu itu dilancarkan dari Iran.

Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA), memaklumkan bahawa empat orang cedera apabila bangunan itu terkena serangan peluru berpandu.

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Israel berkata, anggota bomba sedang mencari tiga individu yang hilang di lokasi kejadian.

Rakaman video AFP menunjukkan pasukan penyelamat menggunakan lampu suluh untuk mencari mangsa di celah runtuhan bangunan dan bongkah konkrit yang berselerakan.

Mangsa-mangsa yang cedera termasuk seorang lelaki berusia 82 tahun, kata MDA. Menurut perkhidmatan kecemasan itu,  lelaki itu berada dalam keadaan serius. Sebuah hospital kemudian memaklumkan bahawa keadaannya kini stabil.

Beliau cedera akibat dihempap objek berat dan kesan letupan, kata MDA, sambil menambah bahawa tiga mangsa lain mengalami kecederaan akibat serpihan dan letupan.

Lelaki berusia 82 tahun itu berjaya diselamatkan selepas petugas kecemasan berjaya mengalihkan bongkah konkrit besar

Tiga mangsa yang cedera itu termasuk seorang bayi berusia 10 bulan yang mengalami kecederaan di kepala, menurut MDA.

Puluhan anggota keselamatan Israel serta pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi serangan itu, menurut wartawan AFP di tempat kejadian.

Imej dan rakaman yang disiarkan oleh MDA memaparkan asap tebal naik dari bangunan itu. Ia terletak di kawasan berpenduduk padat, selain pengusung yang diletakkan di atas jalan oleh pasukan penyelamat untuk membawa mangsa.

Paramedik MDA, Shevach Rothenshtrych, memetik kenyataan penduduk bahawa terdapat mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan di tingkat bawah. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN