Beri saya peluang buktikan - Shahidan - Utusan Malaysia

Beri saya peluang buktikan – Shahidan

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kanan) bersalaman dengan Datuk SM Muthu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sekali lagi menerima Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai presiden selepas beliau menang dalam undian satu lawan satu dengan penyandangnya, Datuk SM Muthu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) KOM penggal 2022/2025.

AGM yang berlangsung semalam menyaksikan Shahidan menang ‘kerusi panas’ itu dengan majoriti empat undi selepas meraih 20 undi berbanding 16 yang diperoleh Muthu menerusi 36 perwakilan yang hadir mengundi di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur.

Tegas beliau, fokusnya kini adalah untuk membangunkan semula sukan olahraga negara dengan memastikan kecemerlangan atlet dapat terus dipertingkatkan dalam penyertaan mereka di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel termasuk Sukan Olimpik.

“Beri peluang kepada saya untuk buktikan sesuatu, orang sudah buat keputusan dan bagi saya peluang untuk buktikan. Kita semua tidak menang dan tidak kalah kerana perkara yang penting buat masa ini adalah kerjasama sebagai satu pasukan.

“Saya bercadang untuk memberi fokus kepada atlet-atlet pelapis dan remaja terutama yang berpotensi. Saya mahu latihan kepada mereka diperkasakan malah jika dapat diperluaskan di tiap-tiap negeri pun lagi bagus supaya sukan olahraga dapat menyumbang pungutan pingat dalam setiap kejohanan utama antarabangsa yang berprestij,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Shahidan, beliau akan mengumumkan perancangan masa depan KOM bagi penggal baharu ini selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli jawatankuasa yang baharu, dalam minggu depan.

Sebelum ini, Shahidan pernah menerajui badan induk itu dari tahun 2006 hingga 2012 namun terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan penggal 2013/2015.

Penggal berikutnya, KOM diterajui oleh Datuk Karim Ibrahim yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Olahraga Perak sebelum akhirnya Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu untuk penggal 2019/2022 dengan kelebihan tiga undi ketika dicabar penyandang pada waktu itu.

Dalam perkembangan berkaitan, jawatan timbalan presiden KOM dimenangi Datuk A Fadzil Bakar selepas berjaya menewaskan Datuk Seri V Pulanthiran manakala naib presiden persatuan pula menjadi milik Josephine Kang dengan 35 undian, sekali gus mengenepikan senarai pencabarnya iaitu Sallehudin Satar, Syamsul Bani Abdullah dan Datuk Mark William.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya