PETALING JAYA: Industri pelancongan Langkawi mungkin lumpuh berikutan pulau peranginan itu kini dilaporkan mengalami kekurangan tenaga kerja kritikal.
Ia khususnya dalam bidang hospitaliti seperti perhotelan dan peruncitan untuk menampung permintaan tinggi pelancong.
Sehingga kini, sejumlah 30,000 pekerja restoran, Airbnb, hotel, kedai, perniagaan perkhidmatan syarikat pelancongan dan perniagaan bot sudah pun meninggalkan pulau bebas cukai berkenaan.
Mereka berbuat demikian bagi mencari pekerjaan lain selepas terkesan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid yang mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia berkata, pihaknya dimaklumkan, kira-kira 30,000 pekerja hotel dan perkhidmatan hospitaliti itu masih belum digantikan sehingga hari ini.
Ujarnya, kemelut ini berpunca akibat penularan wabak Covid-19 pada awal 2020, yang mengakibatkan kerajaan bertindak mengenakan perintah kawalan pergerakan sehingga menjejaskan operasi pemain industri hospitaliti, mendorong ramai pekerja diberhentikan atau dipotong gaji.
Katanya, dianggarkan kira-kira 30,000 pekerja sektor itu di Langkawi kini tidak lagi berminat menceburi semula sektor tersebut yang dianggap berisiko tinggi, mengakibatkan berlaku kekurangan tenaga kerja yang drastik sehingga berpotensi melumpuhkan industri hospitaliti dan pelancongan di sana termasuk
“Masalahnya sekarang, pekerja banyak yang tidak mahu balik bekerja dengan hotel dan sektor pelancongan lain, sebab takut terjadinya semula peningkatan kes Covid-19 yang mengakibatkan kerajaan mengumumkan sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lockdown.
“Malah pekerja yang sebelum ini sudah dua tahun tidak bekerja akibat diberhentikan atau dipotong gajinya, mereka ini sudah buat kerja-kerja lain seperti berniaga atas talian atau bawa grab. Sekarang mereka sudah serasi dengan kerjaya tersebut, jadi mereka tak berminat untuk kembali kepada kerjaya asal dalam bidang hospitaliti yang berisiko kalau berlaku semula lockdown,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, masalah kekurangan tenaga kerja sangat menjejaskan perkhidmatan di hotel-hotel di Langkawi, lebih-lebih lagi dalam soal operasi seharian.
“Sebelum ini, ada kejadian pelanggan hotel terpaksa menunggu lebih empat jam sebelum boleh mendaftar masuk ke bilik hotel kerana pihak pengurusan hotel terpaksa ambil masa yang lama untuk mengemaskan bilik. Puncanya, sebab kurang pekerja. Malah, perkhidmatan buffet di hotel-hotel juga terjejas kerana kekurangan pekerja untuk menguruskan dapur,” katanya.
Memburukkan keadaan, kata Shaharuddin, faktor kekurangan feri dan penerbangan pesawat yang membawa pengunjung ke Langkawi juga mendorong kelumpuhan industri hospitaliti dan pelancongan di sana.
“Sekarang ini, cuma dua feri sahaja yang beroperasi dalam sehari. Jadi masalah timbul untuk orang pergi ke Langkawi. Cuma satu feri waktu pagi dan satu feri yang lain pula untuk waktu petang. Jadi payah kalau orang ramai mahu ke sana, timbul masalah untuk dapatkan pelancong masuk menggunakan feri.
“Faktor penerbangan ke Langkawi yang terhad juga menjurus kepada kelumpuhan sektor hospitaliti di Langkawi. Sebab sekarang ini, syarikat penerbangan mengehadkan pelancong, mereka tengok destinasi mana yang ramai (pelancong) baru mereka berlepas.
“Jadi, kalau masa yang tak penuh (pesawat), mungkin mereka tukar (laluan) penerbangan. Mungkin bila mereka tengok tak ramai (pelanggan yang menaiki pesawat), jadi mereka tunda supaya mendapat yang lebih ramai penumpang. Itupun jadual yang terhad dan tak tepat, maknanya bertukar-tukar, kejap ada kejap tiada. Itu juga menjejaskan jumlah pelancong,” katanya.
Sementara itu, Shaharuddin berkata ada kemungkinan berlaku peningkatan harga perkhidmatan dan barangan di Langkawi, susulan langkah kerajaan yang tunduk kepada desakan untuk menaikkan gaji minima kepada RM1,500 yang disifatkan akan mendorong inflasi dan menjejaskan kehadiran pelancong ke sana.
“Langkawi sebelum ini dikenali sebagai pulau bebas cukai yang mana sesetengah barangan dijual pada harga lebih murah. Tapi susulan langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 baru-baru ini, jadi kos operasi dan pembuatan barangan akan meningkat.
“Ini kerana peniaga terpaksa tampung kos kenaikan gaji minimum RM1,500 dengan menjual barangan dan perkhidmatan dengan harga tinggi, jika tidak bagaimana mahu bertahan,” katanya. – UTUSAN










