Tangani murid tercicir daripada sistem pendidikan

Tangani murid tercicir daripada sistem pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH diucapkan kepada semua calon yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru sahaja diumumkan.

Kejayaan ini pastinya menjadi detik bermakna bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang telah berusaha gigih sepanjang tempoh persekolahan.

Setiap keputusan yang diperoleh mencerminkan usaha, pengorbanan dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah. Bagi ramai pelajar, SPM menjadi pintu pertama untuk melangkah ke alam pengajian tinggi, latihan kemahiran atau dunia pekerjaan yang lebih stabil.

Pencapaian yang baik dalam pendidikan sering diangkat sebagai jalan keluar paling berkesan daripada kemiskinan. Namun, di sebalik retorik tersebut, masih terdapat murid yang tercicir daripada sistem pendidikan.

Angka keciciran mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya besar terhadap masa depan individu, keluarga dan negara. Persoalan yang perlu ditanya ialah: Apakah kita benar-benar telah menangani punca keciciran atau sekadar berpuas hati dengan statistik yang kelihatan semakin baik?

Menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia, kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dan berada sekitar 0.29 peratus pada 2025. Walaupun angka ini rendah, ia masih melibatkan ribuan murid yang meninggalkan sekolah setiap tahun.

Setiap seorang yang tercicir sebenarnya mewakili potensi yang hilang serta risiko terjerumus ke dalam kitaran kemiskinan yang berpanjangan. Hakikatnya, statistik keciciran yang rendah tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.

Terdapat kes murid yang masih berdaftar secara rasmi tetapi jarang hadir ke sekolah, sekali gus berisiko tinggi untuk tercicir secara senyap.

Situasi ini menunjukkan bahawa keciciran bukan sahaja berlaku apabila murid meninggalkan sekolah sepenuhnya, tetapi juga bermula dengan ketidakhadiran yang berterusan, prestasi akademik yang merosot dan hilang minat terhadap pembelajaran.

Jika tanda-tanda awal ini tidak ditangani, murid tersebut akhirnya akan keluar daripada sistem pendidikan tanpa intervensi yang mencukupi.

Keciciran pendidikan sering kali berkait rapat dengan kedudukan sosioekonomi isi rumah, khususnya dalam kalangan golongan B40. Walaupun pendidikan asas disediakan secara percuma, kos tidak langsung seperti pengangkutan, peranti digital, yuran aktiviti dan keperluan harian tetap menjadi beban.

Bagi keluarga berpendapatan rendah, keutamaan diberikan kepada kelangsungan hidup harian. Dalam keadaan tertentu, anak-anak terpaksa membantu keluarga bekerja, sekali gus mengorbankan pendidikan mereka.

Selain faktor ekonomi, cabaran geografi mungkin turut memberi kesan. Murid di kawasan luar bandar atau pedalaman menghadapi jarak sekolah yang jauh serta kekangan pengangkutan.

Apabila digabungkan dengan faktor keluarga seperti kurang sokongan pembelajaran di rumah, risiko keciciran menjadi lebih tinggi.

Situasi ini menunjukkan bahawa keciciran bukan semata-mata kegagalan individu, tetapi refleksi kepada jurang sosial yang masih wujud dalam sistem pendidikan.

Baru-baru ini, laporan akhbar memaparkan kisah menyayat hati mengenai dua beradik yang tercicir daripada pendidikan formal dan hanya mampu menyimpan hasrat untuk ke sekolah.

Situasi ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa masih wujud kelompok yang terlepas daripada radar sistem pendidikan negara.

Lebih kritikal, keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan mekanisme pengesanan awal yang sepatutnya berfungsi di peringkat akar umbi. Dalam komuniti yang saling mengenali, kehadiran kanak-kanak yang tidak bersekolah sepatutnya mudah dikesan.

Jika jiran tetangga, pemimpin komuniti atau pihak sekolah lebih peka, intervensi awal boleh dilakukan sebelum kanak-kanak tersebut tercicir sepenuhnya.

Kegagalan mengenal pasti kes sebegini menunjukkan bahawa tanggungjawab sosial dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan masih belum benar-benar dihayati sebagai tanggungjawab bersama.

Keciciran sejak awal juga memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kanak-kanak. Tanpa pendedahan kepada pendidikan formal, mereka bukan sahaja ketinggalan dari segi akademik, malah terhad dalam pembangunan kemahiran sosial, komunikasi dan keyakinan diri.

Keadaan ini menjadikan mereka lebih sukar untuk kembali ke sistem pendidikan pada masa hadapan. Dalam jangka panjang, mereka berisiko memasuki alam pekerjaan tidak formal pada usia muda dengan peluang mobiliti sosial yang sangat terhad.

Lebih membimbangkan, apabila kes seperti ini berlaku tanpa disedari, ia menunjukkan bahawa keciciran bukan lagi sekadar isu individu atau keluarga, tetapi mencerminkan jurang keprihatinan dalam masyarakat.

Sekiranya komuniti lebih peka dan bertindak lebih awal, banyak kes keciciran boleh dielakkan.

Pendidikan bukan hanya tanggungjawab sekolah atau kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir dan terus terpinggir daripada peluang masa depan yang lebih baik.

Apa yang lebih membimbangkan ialah keciciran pendidikan boleh mengukuhkan kitaran kemiskinan antara generasi. Murid yang tidak pernah bersekolah dan tidak menamatkan persekolahan lazimnya terhad kepada pekerjaan berkemahiran rendah dengan pendapatan tidak stabil.

Tanpa kelayakan akademik, mereka sukar meningkatkan taraf hidup. Akhirnya, anak-anak mereka pula berdepan risiko yang sama. Dalam jangka panjang, fenomena ini mewujudkan kelompok masyarakat yang terus terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi negara.

Umum mengetahui pendidikan mampu mengubah trajektori kehidupan sesebuah isi rumah. Individu yang memiliki kelayakan pendidikan lebih tinggi cenderung memperoleh pekerjaan lebih stabil, pendapatan lebih baik dan mobiliti sosial yang lebih tinggi.

Pendidikan juga meningkatkan literasi kewangan dan kesedaran terhadap kepentingan pembangunan modal insan dalam keluarga. Justeru, memastikan setiap murid kekal dalam sistem pendidikan bukan sahaja tanggungjawab sektor pendidikan, tetapi strategi pembasmian kemiskinan jangka panjang.

Namun, usaha sedia ada perlu dinilai secara lebih kritikal. Bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai intervensi menyeluruh. Sokongan psikososial, penglibatan komuniti, pemantauan kehadiran murid serta pendekatan pembelajaran yang lebih fleksibel perlu diperkasakan.

Intervensi awal terhadap murid berisiko tinggi juga penting agar mereka tidak tercicir sebelum sempat dibantu.

Akhirnya, isu keciciran pendidikan bukan sekadar isu sekolah, tetapi isu masa depan negara. Setiap murid yang tercicir berisiko menjadi generasi yang terpinggir daripada peluang ekonomi.

Jika pendidikan benar-benar dianggap sebagai alat mobiliti sosial, maka usaha memastikan semua murid kekal dalam sistem pendidikan perlu diberi keutamaan.

Jangan biarkan keciciran melahirkan generasi terpinggir, kerana kesannya bukan sahaja dirasai oleh individu, tetapi oleh masyarakat dan negara secara keseluruhannya. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN