Bapa harap anak hilang di laut ditemukan segera - Utusan Malaysia

Bapa harap anak hilang di laut ditemukan segera

AHMAD NUR HASSANUDDIN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Bapa kepada pemuda yang hilang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan ini semalam berharap anaknya itu dapat ditemukan segera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, dilaporkan hilang selepas dikatakan cuba mengejar sebuah kapal layar menggunakan bot kecil.

Mangsa yang merupakan kru kapal layar tersebut dikatakan terlewat menaiki kenderaan berkenaan yang berlayar kira-kira pukul 4.30 petang.

Bapa kepada Ahmad Nur Hassanudin, Ibrahim Majid, 68, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian menimpa anaknya itu daripada adiknya kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Saya dan ahli keluarga yang tinggal di Alor Setar terus ke Langkawi pada pagi ini. Setakat ini anak saya belum ditemukan lagi,” katanya ketika ditemui di Jeti Syed Omar di Kuah di sini hari ini.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa adalah pada Ahad lalu.

“Pada hari itu, anak saya dapat panggilan telefon yang memintanya untuk segera pulang kerana perlu kembali bekerja dan terus menghantarnya Terminal Feri Kuala Perlis,” jelasnya.

Tambahnya, dia berharap agar anaknya ditemui dan reda dengan sebarang ketentuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memberitahu, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan.

Katanya, sebanyak tujuh bot daripada agensi berlainan digunakan bagi operasi tersebut dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan pada pukul 8.45 pagi ini di Jeti Syed Omar, Kuah.

“Pasukan yang terlibat adalah pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM),”  katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN