Ulsan Hyundai cari jalan ‘rantai’ Forestieri dan Bergson - Utusan Malaysia

Ulsan Hyundai cari jalan ‘rantai’ Forestieri dan Bergson

KETUA jurulatih Ulsan Hyundai FC, Hong Myung Bo (kiri) berwaspada dengan ancaman JDT terutama gandingan penyerang mereka, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Aksi memukau gandingan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva pada aksi pembukaan Liga Juara-juara Asia (ACL) mendatangkan resah buat pengendali Ulsan Hyundai FC, Hong Myung Bo yang akan mencari jalan bagi merantai dua penyerang import itu.

Myung Bo berkata, beliau akan memikirkan cara terbaik bagi mematikan gerakan gandingan penggempur Harimau Selatan itu bagi membolehkan anak-anak buahnya bermain dengan lebih baik seterusnya meneruskan misi memburu kemenangan pertama.

Bekas jurulatih Korea Selatan itu berkata, tumpuan lebih akan diberikan kepada penyerang kelahiran Brazil itu, Bergson yang memiliki pengalaman beraksi dalam Liga Korea ketika bersama pasukan Suwon Bluewings dan Busan IPark sebelum ini.

“Apa yang kami dapati, kedua-dua penyerang import ini mempunyai kombinasi yang baik antara satu sama lain serta bijak melakukan gerakan yang boleh mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

“Jadi, kami perlu ada perancangan yang rapi untuk mengekang kemaraan mereka berdua dan berhati-hati ketika merantai pergerakan mereka, kita tidak mahu pasukan terjerat dengan muslihat tipu helah mereka.

“Untuk perlawanan menentang JDT ini, kami perlu memberi konsentrasi sepenuhnya kerana mungkin mereka akan tampil dengan corak permainan yang berbeza ketika menentang Guangzhou FC sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Myung Bo turut bertekad untuk menjadikan Harimau Selatan sebagai mangsa pertama mereka setelah kempunan mengutip tiga mata ketika hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan Kumpulan I.

Katanya, kecuaian di akhir minit permainan menyebabkan pasukan lawan berjaya memperoleh gol penyamaan ketika perlawanan hampir tamat untuk mencuri satu mata dari tangan mereka.

“Tidak dinafikan kami sedikit kecewa gagal meraih tiga mata pada perlawanan pertama, bagaimanapun keputusan tersebut tidak menjejaskan moral dan persediaan pemain untuk mengutip tiga mata ketika berdepan JDT,” ujarnya.

Tambahnya, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Kawasaki Frontale atau melakukan pertukaran untuk memastikan pemain yang diturunkan adalah cergas sepenuhnya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Ulsan Hyundai, Lim Jong-eun berkata, pemain perlu memberikan tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali sekali gus merencatkan peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya.

“Kami sepasukan akui JDT adalah sebuah pasukan yang berkualiti, jadi kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka sebaliknya melakukan yang terbaik bagi memastikan pasukan berjaya meraih kemenangan,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN