Bukan sekadar cerah, kulit sihat, berseri lebih utama

Bukan sekadar cerah, kulit sihat, berseri lebih utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keinginan untuk memiliki kulit cerah sering mendorong ramai individu mencuba pelbagai produk penjagaan kulit di pasaran.

Namun, ada yang berasa kecewa apabila kulit masih kelihatan kusam walaupun sudah menggunakan pelbagai produk.

Pakar perunding dan bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, keadaan itu boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuk pemilihan produk tidak sesuai, kekurangan perlindungan matahari serta masalah kulit lain yang tidak dirawat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kulit cerah tidak bermaksud kulit menjadi lebih putih seperti orang Barat atau Korea.

“Setiap individu mempunyai pigmen kulit berbeza dan matlamat utama penjagaannya adalah untuk mendapatkan kulit sihat, bukan menukar warnanya secara drastik.

“Apabila kita bercakap tentang kulit lebih cerah, ia bukan bermaksud kulit itu menjadi putih. Kulit yang sihat biasanya kelihatan berseri, tidak kusam dan tidak mempunyai masalah pigmentasi,” jelasnya.

Katanya, jika seseorang menggunakan pelbagai produk tetapi kulit masih kelihatan kusam, kemungkinan produk tersebut tidak sesuai atau terdapat faktor lain seperti gaya hidup yang mempengaruhi keadaan kulit.

 

Kepentingan perlindungan matahari
Antara faktor paling penting dalam penjagaan kulit ialah perlindungan daripada cahaya matahari.

Tanpa perlindungan mencukupi, kebanyakan produk penjagaan kulit tidak akan memberikan kesan seperti diharapkan.

Dr. Kang Nien berkata, pelindung matahari jenis kimia lazimnya perlu disapu semula setiap empat jam.

Namun, jika seseorang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari, penggunaan semula disarankan setiap dua jam.

Selain itu, pelindung matahari jenis fizikal juga boleh menjadi pilihan kerana ia bukan sahaja melindungi daripada sinaran ultraungu (UV), malah membantu menapis cahaya tampak seperti cahaya biru serta sinaran inframerah.

 

Kenal pasti masalah kulit
Kulit kusam juga boleh berpunca daripada masalah kulit tertentu seperti jeragat, melasma atau kesan pigmentasi akibat keradangan.

Dalam sesetengah kes, jerawat yang tidak dirawat boleh menyebabkan keradangan dan akhirnya meninggalkan kesan gelap.

“Jika punca sebenar seperti jerawat atau keradangan tidak dirawat, kulit akan terus kelihatan kusam walaupun menggunakan produk pencerah,” jelasnya.

Sehubungan itu, mendapatkan nasihat doktor sangat penting sekiranya masalah kulit berterusan bagi mengenal pasti punca sebenar serta mendapatkan rawatan sesuai.

 

Bahan aktif
Terdapat beberapa bahan aktif yang sering disyorkan oleh pakar untuk membantu memperbaiki masalah pigmentasi dan meningkatkan kesihatan kulit.

Antaranya termasuk retinoid, salicylic acid, azelaic acid dan vitamin C yang dipercayai mampu membantu memperbaiki tekstur kulit serta mengurangkan kesan pigmentasi.

Selain rawatan sapuan, sesetengah individu juga mungkin memerlukan suplemen oral bagi membantu meningkatkan ketahanan kulit terhadap cahaya matahari.

Contohnya, ekstrak tumbuhan pakis yang dikenali sebagai polypodium serta antioksidan astaxanthin yang biasanya terdapat dalam makanan laut seperti udang.

 

Rutin asas jaga kulit
Katanya, rutin penjagaan kulit yang paling asas sebenarnya hanya melibatkan tiga langkah utama iaitu membersihkan, melembapkan dan melindungi kulit daripada cahaya matahari.

Daripada ketiga-tiga langkah itu, perlindungan matahari dianggap paling penting.

Penggunaan pelembap yang mengandungi bahan membantu mencerahkan kulit juga digalakkan.

Bagi individu yang mempunyai masalah kulit tertentu seperti kering atau lapisan perlindungan kulit lemah, penggunaan produk tambahan seperti toner atau serum boleh dipertimbangkan.

Produk tersebut lazimnya mengandungi bahan pelembap seperti hyaluronic acid, ceramide dan centella asiatica yang membantu memulihkan lapisan pelindung kulit.

 

Waspada guna exfoliant
Sesetengah masalah pigmentasi berlaku kerana proses pertukaran sel kulit yang perlahan.

Oleh itu, penggunaan produk exfoliant boleh membantu mempercepatkan proses penyingkiran sel kulit mati.

Antara bahan yang biasa digunakan termasuk AHA, BHA, PHA, retinoid dan salicylic acid.

Produk ini biasanya disarankan untuk digunakan pada waktu malam kerana kulit menjadi lebih sensitif terhadap cahaya matahari selepas penggunaannya.

“Namun, pengguna perlu berhati-hati, jika kulit menjadi merah, pedih atau terlalu sensitif selepas menggunakan exfoliant.

“Hentikan sementara penggunaannya sehingga kulit kembali pulih,” katanya.

 

Rawatan dermatologi
Mengulas lanjut, bagi individu yang ingin memperbaiki keadaan kulit dengan lebih cepat, terdapat beberapa rawatan dermatologi yang boleh dipertimbangkan.

Antaranya ialah rawatan chemical peel yang biasanya dilakukan setiap satu hingga satu setengah bulan, serta rawatan laser toning setiap empat minggu pada peringkat awal.

Selepas itu, rawatan penyelenggaraan biasanya dilakukan setiap tiga hingga enam bulan.

Malah, rawatan skin booster juga boleh membantu meningkatkan kelembapan kulit serta memberikan kesan lebih berseri.

 

Jangan obses kulit cerah
Orang ramai diingatkan agar tidak terlalu obses untuk mendapatkan kulit cerah secara tidak realistik.

Katanya, terdapat sesetengah klinik yang menawarkan rawatan seperti suntikan intravena (IV drip) dengan vitamin C dos tinggi atau glutathione untuk tujuan mencerahkan kulit.

Walaupun rawatan tersebut boleh memberikan kesan sementara, kesan sampingan jangka panjangnya masih belum diketahui sepenuhnya.

Malah, terdapat laporan mengenai kesan buruk seperti kerosakan buah pinggang, gangguan metabolik serta reaksi alahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini